Azhar Sedia Bekerjasama

Selepas kumpulan duo Azhael ‘berkubur’, penyanyi Azhar Osman dan Hael Husaini semakin rancak dengan karier solo masing-masing.

Keberangkalian mereka bertembung dalam acara hiburan juga tinggi, malah ramai mahu melihat mereka bergabung semula.

Bagaimanapun, Azhar, 29, menegaskan tiada perancangan melakukan sebarang projek bersama bekas rakan duonya itu.

“Saya tidak menolak jika ada peluang bekerjasama dengan Hael pada masa depan. Bagaimanapun dalam masa terdekat saya tidak nampak ia akan berlaku memandangkan masing-masing sibuk.

“Saya sendiri sedang mempertimbangkan tawaran bernaung di bawah FMC Music,” katanya.

Azhar mengakui jauh di sudut hati dia rindu berkongsi pentas dengan Hael. Malah, dia tiada masalah berbuat demikian sekiranya ada jemputan.

“Saya sentiasa mengalu-alukan tawaran menggabungkan kami di satu pentas. Apatah lagi, lagu Hujung Waktu masih ada permintaan hingga hari ini,” katanya.

Sejak berita pembubaran Azhael, ramai tertanya-tanya apa puncanya. Ada yang mendakwa Azhar dan Hael tidak lagi sehaluan sehingga terpaksa memilih jalan masing-masing.

Menjawab persoalan itu, Azhar meminta netizen tidak membuat andaian bukan-bukan dan segera menoktahkan spekulasi kononnya hubungannya dengan Hael bermasalah.

Azhar turut menafikan dakwan dia bermasam muka dan iri hati dengan kejayaan yang diraih juara Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) itu.

Menurutnya, hubungan mereka baik malah masih berhubung meski haluan muzik berbeza.

“Ketika masih bersama, saya pernah cakap Hael ada potensi cerah jika bergerak solo. Terbukti dia berjaya dan saya tumpang gembira.

“Saya sendiri keliru macam mana boleh timbul cerita saya iri hati sedangkan selama ini sentiasa menyokong Hael. Kami kerap berbalas mesej memberikan kata-kata semangat.

“Orang kita suka cakap semberono. Mereka tidak tahu cerita sebenar dan sesuka hati buat andaian.

“Saya dan Hael tak pernah canang persahabatan kami. Kami yakin peminat akan nampak dan tahu sendiri. Apa yang penting, jangan bermasam muka atau bergaduh. Kita buat baik dengan semua orang,” katanya.

Azhar tidak ketinggalan berkongsi keterbukaannya untuk menyanyikan lagu ciptaan sahabatnya itu.

“Saya tahu Hael boleh menghasilkan lagu. Bahkan ketika bergerak sebagai Azhael, saya pernah menyarankan dia buat lagu untuk kami, tetapi dia tidak berapa yakin.

“Sekarang, dia bukan sahaja mencipta nama sebagai penyanyi, tetapi turut disegani sebagai komposer hebat. Pendek kata siapa yang tidak mahu menyanyikan lagu ciptaan dia?

“Saya pasti tidak tolak jika dia buat lagu untuk saya. Namun, saya kena kenal pasti genre terbaik untuk saya terlebih dahulu dan mungkin selepas itu akan berbincang mengenainya,” katanya.

Ketika menghadiri majlis resepsi pasangan selebriti Fizi Ali dan Shakilla Koriri baru-baru ini, Azhar dan Hael bergabung menyanyikan lagu hit Azhael, Hujung Waktu.

Azhael yang ditubuhkan pada 2013 dibubar tahun lalu apabila Hael mengumumkan mahu bergerak secara solo.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.