Video: NGO Lapor SPRM Gaya Hidup Mewah Pegawai Khas MB Selangor

SHAH ALAM – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor hari ini mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemewahan luar biasa pegawai khas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham.

 

Malah seorang lagi individu bernama Mohd Zulfahimin Mahadzir turut didakwa memiliki kemewahan luar jangka.

 

Penasihat Undang-undang NGO terbabit, Datuk Imran Tamrin berkata, laporan berhubung dakwaan berkenaan dibuat berdasarkan kepada ketidaksepadanan antara pendapatan dan gaya hidup kedua-dua individu yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

 

“Kita lihat kemewahannya di luar daripada munasabah dan Hilman ini adalah penjawat awam dalam kerajaan Selangor dan berdasarkan kepada gambar-gambar yang telah viral sekarang ini jadi kami hadir buat laporan berkenaan dengan kemewahan meragukan milik pegawai khas Menteri Besar Selangor serta rakan-rakan beliau,” dakwa Imran.

 

Laporan berkenaan dibuat ahli Gabungan NGO Selangor Mejar (B) Razali Zakaria di ibu pejabat SPRM Selangor.

 

Antara yang diserahkan kepada SPRM adalah laporan empat muka surat dan lima muka surat lampiran berhubung dakwaan berkenaan.

 

“Kami akan serahkan semua dokumen berkaitan berkenaan dengan rentetan kejadian pada 14 Februari di SUK dan kami dapati bahawa Hilman selaku pegawai khas kepada Menteri Besar telah menyalahgunakan kedudukan beliau dan rakan-rakannya.

 

“Laporan ini adalah berdasarkan kehidupan beliau dan rakan-rakannya yang hidup mewah jauh daripada keupayaan mereka. Daripada siasatan kami dapati beliau telah memiliki kenderaan dan rumah yang mewah, serta memiliki jam yang mahal.

 

“Jadi kami nak tanya dari mana mereka dapat semua ini. Adakah mereka menggunakan kedudukan beliau (Menteri Besar) untuk mendapatkan sumber yang kita tidak pasti dari mana. Kita mahu perkara ini disiasat,” katanya di lobi SPRM Shah Alam hari ini selepas 30 minit membuat laporan di SPRM Selangor.

 

Hilman didakwa memakai jam tangan bernilai RM87,000 yang tular di media sosial baru-baru ini.

 

SPRM sebelum ini menyoal siasat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Rosly berhubung sumber kekayaan luar biasa dengan memiliki banglo mewah di Ampang bernilai RM7 juta.

 

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Adam yang mengatakan ia hanya bernilai RM1 juta.

 

Dalam perkembangan berkaitan Imran turut mendesak agar Hilman membuat pengisytiharan harta beliau bagi membuktikan dakwaan mereka tidak benar.

 

“Pada pandangan saya sebelum ini PKR pun bersifat terbuka dan telus didalam semua perkara terutamanya yang melibatkan pengurusan dana atau pun pengurusan kewangan.

 

“Jadi, selaras dengan pendirian parti PKR itu sendiri dan semangat ketulusan itu sebagai penjawat awam di negeri Selangor berjawatan sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar beliau perlu mengisytiharkan harta beliau mengikut peruntukan sedia ada di negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.