Video: Korea Utara Bidas Malaysia, Tak Percaya PDRM

KUALA LUMPUR – Korea Utara hari ini membidas pihak berkuasa Malaysia yang membuat pendirian bercanggah berhubung penyiasatan pembunuhan kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.

 

Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol tidak mempercayai proses siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian seorang lelaki pemegang pasport negara itu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), Isnin lalu.

 

Beliau berpendapat sedemikian kerana tindakan Malaysia adalah tidak adil dan bertentangan dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini.

 

Dakwanya lagi, tindakan Malaysia adalah tidak adil dan bertentangan dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini.

 

“Sudah tujuh hari insiden itu berlaku, tetapi masih tiada bukti jelas mengenai punca kematian dan pada masa ini kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia walaupun keputusannya akan diperolehi.

 

“Ia hanya akan menambah keraguan bahawa mungkin ada pihak lain yang terlibat di sebalik siasatan itu,” katanya ketika membacakan kenyataan media kepada pemberita di pejabat Kedutaan Besar Korea Utara pada petang Isnin.

 

Pada masa sama, Duta Korea Utara itu turut mencadangkan siasatan berhubung punca kematian Kim Jong-Nam dilakukan dengan kerjasama pihaknya dan PDRM.

 

Katanya, ia bertujuan mendapat keputusan yang lebih menyeluruh berhubung bedah siasat berkenaan.

 

Kang Chol juga mempersoalkan mengenai identiti lelaki berkenaan yang bernama Kim Chol di dalam pasport, tetapi disahkan oleh polis Malaysia sebagai Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

 

“Ini jelas menunjukkan siasatan oleh polis Malaysia bukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca  kematian dan mencari suspek, sebaliknya mempunyai matlamat politik.

 

“Si mati bukan rakyat biasa tetapi pemegang pasport diplomatik yang mempunyai keistimewaan dalam Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik yang perlu dipatuhi,” katanya.

 

Sebelum ini, Wisma Putra bertindak memanggil Kang ekoran kenyataannya yang mendakwa Putrajaya “menyembunyikan sesuatu” serta “berpakat dan bersekongkol dengan pihak luar”.

 

Kementerian Luar berkata, tuduhan Duta Korea Utara itu sebagai tidak berasas dan sekaligus mencemarkan reputasi negara ini.

 

Malaysia sebaliknya, memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus ke atas kematian Kim Jong Nam dan memaklumkan perkembangan siasatan itu kepada Kedutaan Korea Utara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.