Video : ‘Kami Akan Ikat Lembu-Lembu Ni Di SUK’

BANDAR BARU BANGI – “Jika Adun di sini tidak ambil tindakan dan pihak kerajaan Selangor merobohkan tempat ini, kami akan ikat semua lembu-lembu ini di SUK,” kata Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan apabila kandang lembu dan kambing tersebut bakal dirobohkan pada Rabu depan.

 

Beliau yang hadir bersama Ketua Pemuda MIC Selangor, D. Kajendran berkata, tindakan kerajaan tempatan negeri Selangor menghantar notis kepada lapan keluarga (dua Melayu dan 4 India) itu untuk mengosongkan tanah kandang lembu tersebut adalah sangat tidak adil memandangkan hanya tanah tersebut sahaja di berikan notis pengosongan sehingga minggu depan.

 

“Kami datang hari ini adalah demi untuk mempertahankan hak rakyat. Pengusaha kandang kambing dan lembu ini telah berada di tempat ini selama 80 tahun lebih dan kini kehilangan hak mereka.

 

“Sejak dulu, hak mereka diberikan semasa pemerintahan BN supaya meneruskan usaha kandang lembu di tanah ini. Kini, Adun beri, namun pihak kerajaan tempatan pula mahu merobohkan. Adakah Ideologi mereka berbeza? Bekerja yang tak sekongkol. Kerja ikut sukahati mereka sahaja,”katanya ketika ditemui di kandang lembu, disini, sebentar tadi.

 

Sehubungan itu, menurutnya, surat pengosongan tanah kerajaan dari Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat itu telah dikeluarkan supaya pemilik struktur ladang lembu mengosongkan tempat tersebut atas alasan ia dilakukan tanpa kebenaran tanah kerajaan sekali gus menggangu sistem saliran sungai yang sedia ada.

 

“Sedangkan, kandang itu langsung tidak mengganggu sistem saliran sungai. Ia ada salirannya sendiri yang tidak melibatkan kawasan sungai.

 

“Saya sangat marah, apabila sebelum ini ia telahpun mendapat sokongan Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar secara bertulis. Namun, kini sudah tidak relevan. Surat juga sudah dikeluarkan dan mereka juga akan mengambil tindakan (meroboh) pada bila-bila masa sahaja,”tegasnya.

 

Dalam pada itu, katanya sebelum ini pihak pemilik kandang sudah melakukan semua prosedur yang dikenakan.

 

“Bagaimanapun, mereka tetap memberikan notis sejak Deepavali sehinggakan empat keluarga yang terlibat tidak menyambut Deepavali. Mereka menunggu dengan menitiskan airmata,”katanya.

 

Katanya, adalah tidak wajar tindakan kerajaan Selangor dan Adun-adunnya melakukan perkara sedemikian, kerana ia melibatkan lapan keluarga mencari nafkah menerusi hasil daripada kandang lembu tersebut.

 

“Kawasan itu juga telah didiami kelapan dari mereka sejak daripada dulu lagi. Jika mahu pemilik kandang lembu berpindah, Adun perlu menyediakan tanah baharu.

 

“Namun bagaimana jika mahu meletakkan lembu sekiranya tempat tidak ada dan bakal dirobohkan tanpa ada tanah ganti kepada pemilik kandang?,” soalnya.

 

Sementara itu, isteri kepada seorang pemilik kandang terbabit, Santhi Mutukarupan, 54, berkata, seringkali mereka diganggu dengan notis pengosongan tanah tersebut.

 

“Setiap kali mereka suruh kosongkan. Suruh pindah mana-mana saja,”katanya.

 

Menurut Santhi dia dan keluarga telah menghabiskan RM200,000 untuk membina kandang tersebut, namun kerajaan tempatan sewenangnya memberikan notis untuk meroboh dan mengosongkan tanah tersebut.

 

Ditanya apakah keluarga itu sudah menjumpai tanah untuk kandang lembunya, menurut Santhi, mereka masih belum menjumpainya.

 

“Kami sudah tiada tempat mana-mana untuk pergi,”katanya sebak.- SuaraTV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.