Motif Korea Utara Terdesak Tuntut Mayat Jong-Nam Jadi Tanda Tanya

KUALA LUMPUR – Pihak kedutaan Korea Utara dilihat begitu terdesak untuk menuntut mayat Kim Jong-nam sehingga sanggup menuduh serta memperlekehkan kerajaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan kes berprofil tinggi itu.

 

Kesungguhan itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan, apakah motif sebenar pihak kedutaan negara itu apabila turut cuba menghalang proses bedah siasat dijalankan ke atas mayat Jong-nam yang dipercayai mati akibat diracun pada Isnin lalu.

 

Sedangkan secara logiknya, sudah tentu mereka sedia maklum tentang prosedur dan undang-undang yang perlu dipatuhi di negara ini apatah lagi melibatkan kes kematian berunsur me­ragukan.

 

Menurut sumber, pihak terbabit bertindak sedemikian kerana cuba menutup satu konspirasi besar yang mungkin melibatkan kuasa besar di bawah pemerintahan diktator Kim Jong-un.

 

“Pihak keduta­an negara itu sebelum ini juga te­lah mengeluarkan kenyataan tidak akan me­nerima hasil bedah siasat di negara ini.

 

“Mereka sebenarnya mahu segera menuntut mayat Jong-nam dan kemudian melakukan bedah siasat sendiri yang hasil laporannya mungkin diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Seterusnya kes ditutup,” katanya di sini hari ini.

 

Menjelaskan tindakan empat suspek lelaki warga Korea Utara meninggalkan negara ini sebaik sahaja kejadian itu berlaku, sumber itu memberitahu, kesemua suspek berkenaan kini dipercayai berada di negara asal mereka.

 

“Itulah tempat pa­ling selamat untuk mereka sekarang, me­reka tidak akan berada di negara lain kerana tindakan itu akan membuatkan mereka diburu oleh polis antarabangsa (In­terpol).

 

“Lebih baik berada di tempat mereka di­lindungi,” ujarnya.

 

Tambah sumber, per­kara itu mungkin akan membawa sedikit kesukaran bagi pasukan keselamatan negara ini untuk menjejaki keempat-empat lelaki berkenaan.

 

Pada Rabu lalu, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol melahirkan rasa tidak puas hati terhadap PDRM serta Wisma Putra kerana tidak dibenarkan me­nuntut mayat Jong-nam malah turut mengulanginya hari ini dalam satu sidang akhbar.

 

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid menegaskan, siasatan termasuk bedah siasat perlu dijalankan kera­na kematian Jong-nam bersifat meragukan.

 

“Setiap kematian mengejut dan mencurigakan perlu disiasat. Mereka boleh komen apa sahaja tetapi kita hanya mengikut undang-undang negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.