Mahathir Terpaksa Bermadah Pula Untuk Tarik Simpati

Selepas tulisannya selama ini hanya berkisar kepada kecaman dan kritikan secara langsung terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, kali ini Tun Dr. Mahathir Mohamad menukar rentak dengan bermadah pula menerusi blog CHEDET.CC dengan tajuk `Budi Bahasa’.

 

Jika dilihat kepada tajuknya, Budi Bahasa, memang bagus tajuk berkenaan tetapi dilihat kepada penulisannya, memang ketara jauh benar dengan sifat si penulisnya. Ini kerana ketika beliau mengecam Najib selama ini pun, lebih banyak kepada tohmahan semata-mata.

 

Tiada sedikit pun gambaran mengenai budi bahasa. Apa pun madah itu mungkin menunjukkan Tun M sudah kecewa kerana usaha dan rancangan yang dijalankan selama ini untuk menjatuhkan Najib gagal.

 

Apatah lagi kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu yang diadakan minggu lepas, telah menunjukkan Najib semakin kukuh.

 

Ia turut diakui oleh media asing malah Bloomberg menerusi portalnya, www.bloomberg.com semalam menyatakan kemenangan itu merupakan khabar gembira untuk Najib ketika beliau sedang mempertimbangkan tarikh sesuai untuk mengadakan PRU-14.

 

“Walaupun ketika itu mereka (pembangkang) bersatu untuk menumbangkan BN, DAP dan PKR bertindak kurang bijak dengan bertanding sesama sendiri di beberapa kerusi justeru menyumbang kepada kekalahan mereka.

 

“Sebaliknya, BN menjanjikan agenda yang lebih jelas kepada pengundi termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan miskin dan merangka pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dengan kos sebanyak RM28.9 bilion,” lapor Bloomberg.

 

Kemenangan BN itu juga membayangkan pakatan harapan berdepan cabaran besar pada PRU-14 nanti.

 

Berbalik kepada Mahathir, serangan yang dijalankan sebelum ini iaitu dengan mensasarkan 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai fokus utama, tidak berjaya. Ini kerana siasatan telah dijalankan dan Najib telah disahkan bersih daripada semua tuduhan.

 

Begitu juga dengan deklarasi rakyat, kononnya untuk mendapatkan sejuta tandatangan bagi mendesak Najib digulingkan, malangnya ia juga gagal dan lihatlah apa yang berlaku kepada kempen berkenaan?

 

Selain itu, cubaan menggulingkan Najib menerusi perhimpunan haram Bersih juga menemui kegagalan dan telah menambahkan kemarahan rakyat kerana perhimpunan itu cuba menafikan proses demokrasi yang dilaksanakan di negara ini sejak sekian lama.

 

Itu antara serangan yang dilakukan beliau dan ada banyak lagi tetapi apa yang jelas, ia gagal. Mungkin beliau sedang mengatur strategi yang lain. Kita tunggu dan lihat sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.