Duta: Polis Ugut Tembak Keluarga, Pukul Anak Suspek

Hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara kelihatan semakin tegang selepas pembunuhan Kim Jong-nam minggu lalu.

 

Hari ini, duta Korea Utara Kang Chol mendakwa polis negara ini mengancam anggota keluarga seorang rakyatnya dan memukul anaknya ketika menyerbu sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

 

Pada sidang media di Kedutaan Korea Utara, Kang Chol membacakan kenyataan lima halamannya, yang antaranya menyebut:

 

“Malam Jumaat lalu, polis Malaysia berpakaian biasa menyerbu sebuah kondominium rakyat kami di Kuala Lumpur dan tanpa sebarang waran atau bukti secara paksa menahan serta mengumumkan mereka menahan perancang (kes Jong-nam) sebelum sebarang siasatan bermula.

 

“Mereka malah mengacukan pistol pada anggota keluarga dan mengancam nyawa mereka dan memukul anak remajanya di muka.

 

“Ini adalah pelanggaran hak asasi manusia yang hanya boleh dilihat dalam filem mafia Amerika Syarikat,” katanya.

 

Kenyataan keras itu dibuat selepas Wisma Putra mendedahkan mereka memanggil Kang Chol menjelaskan kenyataannya yang kelihatan menggambarkan Malaysia menyembunyikan sesuatu.

 

Sidang akhbar itu berlangsung kira-kira 15 minit.

 

Sehingga berita ini ditulis, pihak polis telah menahan seorang wanita rakyat Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang suspek Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara berhubung dengan pembunuhan itu.

 

Polis masih mencari empat lagi suspek Korea Utara yang dipercayai telah melarikan diri ke negara asal mereka.

 

Polis juga meminta waris atau keluarga Kim Jong-nam untuk tampil dan mengenal pasti tubuhnya selewat-lewat sebelum 27 Februari ini.

 

Kang juga menyelar keputusan Malaysia yang mahu ahli keluarga mangsa menyerahkan sampel DNA sebelum menyerahkan jasad itu.

 

“Ini adalah tidak munasabah. Biasanya ujian DNA untuk mengenal pasti pengenalan waris jika mayat telah reput, dibakar atau bertukar menjadi rangka.

 
“Selagi kewarganegaraan adalah jelas, identitinya disahkan oleh pejabat kedutaan yang bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dia adalah pemegang pasport diplomatik, permintaan itu boleh dianggap sebagai plot politik di sebalik kejadian itu,” katanya.

 

Undang-undang Malaysia tidak boleh mengatasi undang-undang antarabangsa, katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.