Datuk Bandar London Gesa Britain Tolak Lawatan Trump

 

LONDON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak sepatutnya dibenarkan melakukan lawatan rasmi ke Britain susulan dasar imigresen beliau yang “kejam dan memalukan”, kata Datuk Bandar London, Sadiq Khan kelmarin.

 

Larangan perjalanan sementara Trump ke atas tujuh negara berpenduduk majoriti Islam dan pembatalan program penerimaan pelarian AS menjadi alasan kuat untuk tidak membentangkan ‘karpet merah’ kepada Trump, kata Sadiq kepada saluran berita ITV News.

 

Beliau membuat kenyataan itu sehari sebelum Parlimen Britain membahaskan petisyen yang ditandatangani oleh 2 juta orang, meminta supaya lawatan Trump dibatalkan.

 

Menurut petisyen itu, Trump harus dibenarkan memasuki Britain sebagai ketua kerajaan AS, namun tidak perlu diundang untuk lawatan negara yang melibatkan pertemuan dengan Ratu Elizabeth II kerana “ia akan memalukan baginda”.

 

Kerajaan Britain yang perlu membahaskan mana-mana petisyen mengandungi lebih 10,000 tandatangan telah menolak permintaan tersebut.

 

Sadiq yang merupakan seorang muslim kerap membidas Trump berhubung retoriknya mengenai Islam dan kaum minoriti lain.

 

“Saya fikir larangan terhadap penduduk dari tujuh negara Islam dan tindakan menamatkan program pelarian adalah kejam dan memalukan. Atas faktor ini, kita tidak perlu menyambut beliau,” katanya.

 

Tarikh lawatan pertama Trump ke Britain sebagai Presiden AS bagaimanapun masih belum diputuskan. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.