DAP Bohong Kata Tempat Kami Tiada Elektrik, Kata Bekas Ahli

KUALA LUMPUR – Selepas empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti awal bulan ini, parti berkenaan sekali lagi diberikan tamparan hebat apabila 40 ahlinya dari Sabah bertindak meninggalkan parti tersebut.

 

Kumpulan yang diketuai oleh Dirim Jaikul dari Kampung Tuawon, Sook, Keningau bertindak sedemikan ekoran berang dengan sikap DAP mempergunakan isu masyarakat kampung berkenaan sebagai wadah politik di seluruh negara.

 

“Baru-baru ini DAP menggunakan kami untuk berbohong kepada seluruh negara bahawa selama ini kawasan kami belum ada bekalan elektrik tapi sebenarnya kami sudah menikmati elektrik,” kata Dirim dipetik portal berita.

 

Beliau serta bekas ahli DAP lain dalam pada itu memutuskan untuk menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

 

Borang keahlian diserahkan kepada Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup.

 

Tindakan 40 orang ahli DAP keluar parti ini adalah kesinambungan kepada ‘tsunami’ yang melanda DAP ekoran empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti.

 

Mereka adalah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong.

 

Mengulas lanjut mengenai kekecewaannya kepada DAP, Dirim menjelaskan keyakinannya terhadap parti teraju Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sejak beberapa tahun lalu disebabkan amalan politik kebencian yang melampau.

 

“DAP mengamalkan politik kebencian, pembohongan dan fitnah. Mereka memanipulasi maklumat untuk memburukkan pemimpin kami untuk cita-cita politik mereka.

 

“Mereka tidak mendekati masalah kami secara profesional, tetapi mencari kelemahan orang lain pula dan kemi kecewa dengan cara mereka melayan anak negeri di Sabah, seolah-olah kami adalah kelas kedua untuk diperalatkan demi kepentingan politik mereka,” kata Dirim kecewa.

 

Tambah beliau bosan dengan sikap DAP pusat memperlakukan pemimpin DAP Sabah seperti anak tiri dimana setiap tindakan perlu mendapat kelulusan atau arahan dari peringkat pusat sebelum ianya dijalankan.

 

“Malah pejabat DAP di Sook pun dirasmikan oleh pemimpin dari Semenanjung. Semua program DAP sentiasa dirasmikan oleh orang dari Semenanjung. Kami mahu pemimpin tempatan dan kami mahu parti tempatan untuk mewakili kami,” tegasnya.

 

Kata Dirim, penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook banyak menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Pengluma Najib Razak.

 

Jelasnya, pembangunan yang dinikmati di kawasannya kini adalah daripada usaha PBRS dan BN secara keseluruhan sementara DAP sekadar mempergunakan rakyat di Sook untuk motif politik semata-mata.

 

Sementara itu, bekas pengarang portal berbahasa Cina, Merdeka Review, Lim Hong Siang menyifatkan zaman kegemilangan DAP selama lebih sedekad lalu mula menunjukkan pola menurun.

 

“Loceng amaran pertama berdering selepas DAP kecundang dalam PRK Teluk Intan pada Mei 2014, disusuli dengan kehilangan lima kerusi DUN dalam PRN Sarawak dua tahun selepasnya.

 

“Tatkala semboyan PRU14 berbunyi dan pembangkang berhempas-pulas mencatur langkah untuk masuk ke gelanggang, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pengumuman keluar parti oleh empat orang wakil rakyat DAP Melaka,” katanya.

 

Ujarnya, pemimpin DAP Melaka keluar parti berkenaan disifatkan sebagai ahli politik veteran menunjukkan tahap keretakan yang besar didalam DAP.

 

“Mereka terpinga-pinga apabila pemimpin DAP sanggup bekerjasama dengan Mahathir Mohamad, yang selama ini dituduh sebagai diktator dan rasis.

 

“Mereka tidak berpuas hati, apabila DAP yang selama ini lantang menjuarai hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim, semakin membusi dalam pertikaian yang melibatkan agama dan kaum,” tegasnya. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.