Buku Fattah Amin Tetap ‘Laris’ Walaupun Dicerca Di Media Sosial

KUALA LUMPUR — Walau dikecam ramai, buku pelakon Fattah Amin yang dianggap tidak bermutu tetap mendapat sambutan peminatnya.

 

“99 Kata-kata #QalifModen” yang dilancarkan 11 Februari lalu dengan cetakan 5,000 naskhah akan ditambah susulan permintaan ramai, lapor mStar Online.

 

“Alhamdulillah setakat ini jualan sangat memberangsangkan walaupun ia dikritik hebat,” kata pelakon drama “Suri Hati Mr Pilot.”

 

Toko buku MPH membuat tempahan baru kerana “mendapat permintaan tinggi selain ia diletakkan di carta best seller,” katanya lagi.

 

Beberapa hari selepas buku ini dilancarkan, Oh Bulan! mengumpul sejumlah cercaan terhadap karya ini dan pelakon tersebut.

 

Buku Fattah, 27, yang berharga RM50 senaskhah dituduh hanya “dipenuhi foto selfie dan ayat entah apa-apa,” lapor blog popular itu.

 

“Kalau pokok tahu ia ditebang untuk buat buku Fattah Amin, ia menangis,” kata seorang pengguna Twitter.

 

Beliau juga dituduh terlalu berlebih-lebih untuk menceburi banyak bidang seni tetapi tanpa kualiti dan mengharapkan populariti sahaja.

 

Sewaktu mempertahankan diri daripada kecaman tersebut, Fattah berkata himpunan ungkapan perangsang semangatnya itu mempunyai “1,001 rahsia, makna mendalam dan maksud tersirat.”

 

Bercakap kepada mStar Online, pelakon itu berkata beliau tetap berfikir positif walau berdepan kritikan pedas susulan buku itu.

 

“Pada saya… dalam perniagaan, biasalah pasti akan ada yang tidak suka dengan produk dihasilkan dan sebaliknya.

 

“Alhamdulillah jumlah yang memberi maklum balas positif lebih banyak daripada yang mengkritik saya,” katanya seperti dilaporkan. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.