Bekas KSU dan Anak Dituduh Subahat Rasuah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan bersubahat dan menerima rasuah bernilai RM550,000, tahun lalu.

 

Mohd Arif yang juga bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berusia 60 tahun dan anaknya Ahmad Zukhairi, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan jurubahasa mahkamah.

 

Mengikut pertuduhan, Mohd Arif didakwa bersubahat dan anak lelakinya itu didakwa menerima suapan wang tunai RM550,000 daripada pengarah syarikat Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh sebagai upah untuk mereka melakukan transaksi membabitkan kementerian itu.

 

Pertuduhan rasuah itu adalah membabitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Untuk Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan Sabah secara rundingan terus bernilai RM57 juta kepada syarikat Eramas (M) Sdn Bhd.

 

Dakwaaan kedua-dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B)Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama membawa hukuman maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai jumlah suapan.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di sini pada jam antara 4 petang dan 7 petang 23 Ogos tahun lalu.

 

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.