Ustaz Kazim Terkilan Tidak Dapat Teruskan Ceramah

KOTA BHARU – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias terpaksa melalui jadual yang padat setiap hari bagi memenuhi jemputan menyampaikan ceramah di seluruh negara.

 

Rutin harian tersebut menyebabkan Mohd. Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim tidak mempunyai masa rehat yang cukup.

 

Pegawai Khas beliau, Rafi Rahman memberitahu, sebelum memulakan ceramah di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok kelmarin, Mohd. Kazim agak kepenatan dan wajahnya nampak pucat.

 

Katanya, Mohd. Kazim bagaimanapun hanya sempat berceramah kira-kira tujuh minit sebelum mengadu letih dan sakit di bahagian dada menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke hospital.

 

“Pagi ini beliau sudah boleh bercakap lebih jelas berbanding malam tadi. Antara yang disebutnya, rasa terkilan kerana tidak dapat menghabiskan sesi ceramahnya.

 

“Malah semasa dalam perjalanan ke hospital malam tadi pun beliau berulang kali kata, ‘Allah, Allah macam mana ni, malu tidak dapat teruskan. Janji nak datang tapi ceramah tujuh minit sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 

Rafi memberitahu, keadaan Mohd. Kazim yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kini dilaporkan stabil.

 

“Ustaz Kazim perlu mendapat rehat yang cukup kerana tubuhnya masih lemah. Doktor turut mengesahkan terdapat otot di bahagian jantung beliau mengalami luka dan diagnosis dijalankan bagi mengetahui punca sebenar.

 

“Jika keadaan beliau bertambah baik, beliau mungkin dapat keluar dari hospital hari ini,” katanya.

 

Rafi dalam pada itu menambah, susulan kejadian itu, beberapa siri ceramah Mohd. Kazim di sekitar Perak dan Pulau Pinang semalam serta Pahang, hari ini terpaksa dibatalkan.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin, Mohd. Kazim terpaksa dikejarkan ke HUSM kerana disyaki mendapat serangan jantung.

 

Ketika itu, beliau berada di PPK Sri Gunong untuk menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

 

Rafi dalam pada itu berkata, beliau kesal ada pihak tidak bertanggungjawab tergamak menyiarkan berita palsu mengenai kematian Mohd. Kazim dan meminta orang ramai tidak terus menyebarkannya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.