Saya Penyabar Tapi Jangan Melampaui Batas – Najib

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata beliau mungkin seorang yang penyabar namun kesabaran itu ada hadnya andai ada yang melampaui batas.

 

Bercakap di majlis memperingati 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib menjelaskan bahawa keupayaannya untuk meneruskan kerjanya dalam politik mungkin disebabkan oleh sifat kesabarannya.

 

“Tetapi saya nak bagitau, saya penyabar tetapi ada had juga.

 

“Jangan fikir boleh buat sesuka hati. Jangan fikir saya tak akan bertindak kalau melampaui batas,” katanya di majlis itu anjuran Kelab Sahabat Najib Razak (N87).

 

Najib turut menegaskan bahawa apabila bertindak, “ia mestilah berdasarkan kepada fakta, parti dan kerajaan” sambil mengesa andai kalau mahu menegur, mesti melalui tempat dan cara yang betul.

 

“Jangan tegur merosakkan parti. Dah lah cukup dengan musuh di luar.

 

“Jangan pula ada musuh dalam selimut, musuh dalam seluar lagi teruk,” katanya.

 

Najib juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah cuba untuk “menjatuhkan” sesiapa semasa pemilihan parti dan tidak pernah membeli undi untuk mendapatkan sokongan ahli.

 

“Bila ada kekosongan baru tawarkan diri untuk bertanding.”

 

“Kalau tak percaya, tanyalah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah setiausaha politik saya pada tahun 1986,” katanya lagi.

 

Mengambil contoh pemilihan parti pada tahun 1993, Najib berkata terdapat mereka dari pasukan Wawasan yang cuba untuk berbuat demikian dan pada hari ini cuba menunjukkan “moral yang tinggi”.

 

Katanya, beliau diberitahu oleh Allahyarham Datuk Jamaluddin Jarjis mengenai apa yang berlaku.

 

“Saya punya jawapan, Allahyarham Tun Abdul Razak bina parti Umno, saya takkan jadi anak yang merosakkan parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.