Najib Garis Empat Fokus Perlu Dikuasai Universiti Tempatan

PEKAN – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat fokus utama yang perlu dikuasai semua universiti tempatan dalam usaha membantu negara mencapai matlamat menjadi negara maju.

 

Perdana Menteri berkata empat perkara itu adalah penghayatan dalam bidang inovasi; keusahawanan; penguasaan bahasa; dan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

 

Katanya penghayatan dalam empat perkara ini membolehkan negara lebih berdaya saing seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, sambil merujuk kepada lawatannya ke Lembah Silikon (Silicon Valley), yang membangun dengan kejayaan Stanford University.

 

“Saya baru balik dari Amerika, lawat Silicon Valley, Apple (Inc) dan bertemu dengan Presiden (Barack) Obama dan pemimpin ASEAN yang lain. Hasil pertemuan itu, antara yang perlu kita kuasai ialah budaya inovasi… kemampuan untuk berinovasi mesti dipupuk dan diberi rangsangan.

 

“Sehubungan itu, saya minta semua universiti supaya bangunkan budaya inovasi ini termasuk Universiti Malaysia Pahang (UMP) selain budaya keusahawanan yang juga boleh diajar,” katanya ketika berucap merasmikan Kampus Utama UMP di sini, hari ini.

 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

 

Najib juga mengingatkan supaya kemahiran berbahasa Melayu selaku bahasa yang mencerminkan jati diri rakyat Malaysia dan Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa pengantara antarabangsa diberi penekanan oleh semua universiti untuk dikuasai sehingga ke peringkat tertinggi.

 

Dalam masa yang sama, beliau mahu supaya empat universiti teknikal di Negara ini iaitu UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Batu Pahat, Johor kekal sebagai universiti teknikal.

 

“Saya akan pastikan semua universiti ini kekal sebagai universiti teknikal. Jangan tambah fakulti lain selain pendidikan teknikal. Ini akan ditetapkan sebagai satu dasar.

 

“Malah jika ada kemampuan, kerajaan akan tambahkan lagi universiti teknikal dalam negara ini,” katanya disambut sorakan gemuruh ribuan penuntut dan kakitangan UMP.

 

Pada majlis itu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan turut mengumumkan peruntukan RM5 juta yang diluluskan untuk pembinaan infrastruktur kejuruteraan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada UMP.

 

Perdana menteri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Adnan yang meluluskan tanah bernilai RM410 juta untuk dibangunkan sebagai kampus utama UMP, dengan kos pembinaan sebanyak RM320 juta.‎

 

Najib turut mengumumkan penamaan semula bangunan Kompleks Pentadbiran Utama UMP sebagai Canselori Tun Abdul Razak sebagai mengenang jasa, sumbangan dan perkhidmatan cemerlang bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai putera kelahiran Pekan.

 

Pengabadian nama Tun Abdul Razak itu merupakan satu bentuk pengiktirafan UMP terhadap peranan yang diberikan oleh Bapa Pembangunan Negara itu untuk mentransformasikan landskap pendidikan, ekonomi, sosial, dan politik Malaysia sewaktu hayatnya.

 

Pada majlis itu, UMP yang diwakili Daing Nasir turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerusi Pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman melibatkan sumbangan benih pokok untuk menjayakan inisiatif penghijauan kampus universiti itu.

 

UMP turut menandatangani MoU dengan The New Straits Times (NSTP) melibatkan kerjasama strategik dalam perkongsian kepakaran bidang penerbitan, media dan komunikasi melalui kerjasama dua hala bagi aktiviti penjenamaan dan Program Khidmat Sosial dan Inovasi (CSI).

 

NSTP diwakili Pengarang Urusan Kumpulannya Datuk Abdul Jalil Hamid.

 

Najib turut menyaksikan penyerahan sumbangan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John.

 

Sumbangan dana dalam bentuk barangan keperluan perniagaan itu diserahkan kepada 12 orang usahawan yang dilahirkan menerusi program empower ECER Mahkota dengan turut melibatkan UMP Advanced Education (UAE) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

 

Menerusi peruntukan khas daripada Teraju itu, ia membantu peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan untuk mengembangkan perniagaan bagi membolehkan mereka diiktiraf sebagai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa akan datang. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.