Dua Pembunuh Upahan Berjaya Ditembak Mati

SIBU -Dua penjenayah dipercayai pembunuh upahan paling dikehendaki, sempat melepaskan tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati di Jalan Sibu-Selangau di sini, awal pagi tadi.

 

Susulan kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis Sarawak percaya dapat menyelesaikan tujuh kes bunuh dan cubaan bunuh di Sibu, Bintulu dan Sabah sejak tahun 2012.

 

Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 36 dan 44 tahun disahkan mati di tempat pemandu dan penumpang depan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4).

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata ketika melakukan rondaan risikan, pasukan polis terserempak dengan sebuah 4×4 putih dalam keadaan mencurigakan di bulatan Kanowit.

 

Katanya, polis mengekori kenderaan itu untuk menjalankan pemeriksaan tetapi suspek memecut dan meninggalkan lokasi menuju Selangau.

 

“Polis cuba memintas kenderaan suspek tetapi mereka bertindak agresif dengan melanggar kenderaan pasukan hingga menyebabkan 4×4 dipandu suspek gagal dikawal lalu terbabas di tepi jalan.

 

“Ketika polis keluar dari kenderaan, suspek melepaskan tembakan dan terkena cermin tingkap kereta polis.

 

“Bagi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman, polis membalas tembakan itu,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

 

Apabila diperiksa, katanya, polis mendapati kedua-dua suspek mati akibat terkena tembakan.

 

Dev berkata, turut ditemui selaras senapang patah yang dipercayai digunakan untuk melepaskan tembakan.

 

Katanya, kenderaan dinaiki suspek turut ditampal pelekat, dipercayai bagi melindungi kesan tembakan kes berasingan di daerah ini, awal bulan lalu.

 

“Kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala suspek berusia 44 tahun pernah ditangkap empat kali mengikut Akta Senjata 1960 dan bagi membantu kes bunuh,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.