Azmin Ali Kecam Tindakan Guan Eng

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengecam Ketua Menteri P.Pinang Lim Guan Eng kerana memecat dua ahli Dewan Undangan Negeri PKR daripada memegang jawatan dalam agensi kerajaan negeri.

 

Menurut Azmin, Guan Eng tidak sepatutnya berbuat demikian kerana dua ADUN PKR itu hanya menyampaikan pandangan yang berbeza dan harus diraikan setiap pihak.

 

“Biro Politik PKR buat keputusan, kita membantah sebarang tindakan terhadap ADUN dan kita akan mempertahankan mereka yang menggunakan DUN untuk memberikan pandangan dan maklum balas.

 

“Mereka bukan buat fitnah dan yang kita tolak adalah budaya fitnah. Tetapi sebagai ADUN, mereka memberikan maklum balas dan pandangan. Perkara ini perlu diraikan dan tidak perlu diambil tindakan..” katanya kepada media.

 

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PKR Pusat mengutus surat kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi memaklumkan pendirian parti itu dalam isu ini.

 

“Ada buat ketetapan untuk hantar surat kepada Kerajaan Pulau Pinang supaya perkara ini dapat dibincangkan dengan baik dan secara berhemah,” jelasnya.

 

Baru-baru ini, ADUN PKR yang berkecuali daripada mengundi menentang usul UMNO untuk menghentikan semua projek penambakan di Pulau Pinang sewaktu sidang DUN November lalu, dilapor telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebagai pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

 

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, ditamatkan khidmatnya sebagai Pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.