Aziz Bari Sertai DAP Kerana Sistem PKR Tempang

RAWANG – “Saya beralih kepada DAP mudah, bukan (kerana) soal saya hendak sangat mengagungkan DAP tidak, tapi soalnya saya tiada peranan dan saya dinafikan dalam PKR sendiri,” kata bekas pensyarah undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari.

 

Menurutnya, beliau menyertai DAP kerana kecewa dengan “sistem tempang” PKR yang menafikan peranannya.

 

“Saya tidak merintih atau pun berasa kecil hati kerana kalah tetapi oleh kerana sistem itu, dan nampaknya tidak ada tindakan dibuat untuk membaik pulih atau membaiki sistem yang tempang itu,” katanya, sebagaimana memetik laporan AntaraPos.

 

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu bertanding sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum ke 13.

 

Kekalahan Aziz dalam pilihanraya itu dilaporkan berpunca daripada sabotaj dalaman PKR di zaman bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan berlarutan di bawah teraju Datuk Seri Azmin Ali.

 

Sehubungan kekalahan itu, Aziz dinafikan jawatan penyelaras parti untuk kerusi Parlimen itu.

 

Pada Julai lalu, Aziz menyertai DAP dan dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pusat DAP Selangor serta dicalonkan oleh parti itu untuk menjadi Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

 

Bagaimanapun ibarat jatuh di timpa tangga, nama Aziz sekali lagi digugurkan pada saat terakhir, dengan desas-desus bertebaran bahawa PKR menghalang pencalonan beliau.

 

“Jadi ini yang menyebabkan di Selangor khususnya dalam soal pelantikan atau penamaan saya sebagai ahli majlis oleh DAP yang diberikan masalah oleh pentadbiran Azmin…. menjadi buah mulut,” ujarnya.

 

“Jadi saya fikir itu cukuplah untuk menjelaskan kenapa saya meninggalkan PKR dan masuk ke DAP yang setakat ini sekurang-kurangnya memberikan ruang kepada saya,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie mendakwa kegagalan Aziz Bari menjadi ahli majlis PBT adalah disebabkan masalah teknikal.

 

“Soal Aziz Bari ini, kami tidak boleh campur tangan kerana kita sudah serahkan segala laporan kepada pihak DAP untuk timbang tara sama ada boleh dibincangkan (atau tidak). Perkara itu sudah selesai,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.