Tiada Kes Kereta Terbakar Kerana Isi Minyak Penuh – Bomba

JOHOR BAHARU 21 Feb. – Kegagalan fungsi pendawaian sistem audio yang diubah suai merupakan antara punca kenderaan terbakar dan tiada kes berpunca daripada tindakan mengisi minyak sehingga penuh tangki, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd. Rizal Buang berkata, dua lagi punca adalah apabila berlaku kemalangan dan perbuatan khianat.

 

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menemukan sebarang bukti bahawa kenderaan terbakar akibat tangki diisi penuh dengan bahan api.

 

“Kami juga tidak mendapati sebarang kes (di Johor) yang menunjukkan minyak yang penuh di dalam tangki boleh menyebabkan kenderaan terbakar secara tiba-tiba walaupun ketika cuaca panas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

 

Mohd Rizal berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran mesej menerusi telefon pintar yang mendakwa kebakaran kepada kenderaan boleh berlaku jika tangki minyak diisi penuh.

 

Beliau berkata bagi tempoh sepanjang tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 610 kes kenderaan terbakar dicatatkan di Johor, namun tiada satu pun daripada kes itu didapati berpunca daripada tindakan mengisi minyak sehingga penuh tangki.

 

Mohd. Rizal berkata, pengguna perlu berhati-hati ketika membuat pengubahsuaian pendawaian sistem audio dan sistem lain pada kenderaan kerana kegagalan fungsinya boleh menyebabkan percikan api, yang selalu menjadi punca kebanyakan kes kenderaan terbakar.

 

Beliau bagaimanapun berkata kajian terperinci melibatkan semua pihak berkaitan perlu diadakan berhubung dakwaan tangki minyak kenderaan yang diisi penuh dengan bahan api boleh menyebabkan kebakaran.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.