Terkejut Anak Gadis Mahu Sertai IS

MUAR – Keluarga pelajar perempuan ber­usia 14 tahun yang ditahan polis Selasa lalu kerana dikatakan cuba menyertai kumpulan militan negara Islam (IS) di Syria, terkejut dan tidak mengetahui me­ngenai penahanan remaja itu.

 

Menurut bapa saudaranya, Azman Said, 52, yang berjiran dengan keluarga pelajar itu di Parit Unas Tengah di sini tidak menyangka anak saudaranya boleh terpengaruh dengan kumpulan IS kerana dia tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara.

 

“Saya lihat sikapnya sebelum ini seperti biasa sahaja iaitu tidak ada sebarang perubahan. Hubungan dia dan keluarga pun boleh dikatakan baik dan tiada masalah serta rapat dengan rakannya di sekolah.

 

“Bapanya pun tidak beritahu anak sulung daripada tiga beradik ini ditahan kerana mahu ke luar negara. Saya tidak tahu pun anak saudara saya ini ditahan sehingga pemberita memberitahu saya,” ketika ditemui di rumahnya hari ini.

 

Selasa lalu, seorang gadis ber­usia 14 tahun yang berasal dari daerah ini dan belajar di sebuah institusi tahfiz di Shah Alam, Selangor ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki merancang menyertai kumpulan IS di Syria melalui Mesir.

 

Difahamkan, gadis yang terpengaruh dengan fahaman militan sejak November lalu itu pernah menyatakan hasrat untuk ke Syria kepada keluarganya tetapi mendapat tentangan.

 

Sementara itu, rakan sekampung kepada pelajar perempuan itu, Muhd. Khairi Samsuri, 16, berkata, dia seakan tidak percaya berita penahanan tersebut kerana remaja itu seorang yang peramah dan agak cemerlang dalam pelajaran selain berminat menguasai bahasa asing dan mendalami ilmu agama.

 

“Kali terakhir bertemu dengannya adalah ketika mengha­diri ce­ramah agama di Surau Parit Unas awal tahun ini. Ketika itu, dia sempat beritahu akan mendalami bidang agama dan mahu meneruskan pengajian ke sebuah madrasah di Kuala Lumpur atau Johor Bahru.

 

“Sebelum ini dia sememangnya disenangi rakannya yang lain kerana agak peramah, selain turut aktif di laman sosial Facebook. Saya mengenalinya kerana sekampung dan pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bakar sebelum ini,” katanya.

 

Katanya, cerita mengenai pelajar itu yang mahu ke Syria ada dihebahkan dalam media sosial dalam kalangan rakan-rakannya seperti di Whatsapp, Facebook dan WeChat tetapi pada awalnya sukar mempercayainya.

 

Dalam pada itu, usaha pihak media untuk mendapatkan penjelasan daripada bapa pelajar perempuan tersebut di rumahnya tidak berhasil apabila kediamannya berkunci dan difahamkan tiada di kampung tersebut. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.