Pegawai Kerajaan, Pemaju ‘Bersubahat’?

KUALA LUMPUR  – Pegawai kerajaan yang meluluskan permohonan pinjaman perumahan bagi penjawat awam didakwa ‘bersubahat’ dengan pemaju bagi meluluskan pinjaman perumahan penjawat awam.

 

Mereka didakwa ‘bersekongkol’ dengan syarikat pemaju bagi meluluskan pinjaman perumahan penjawat awam walaupun mengikut perjanjian, pinjaman hanya boleh diluluskan setelah projek perumahan disiapkan sepenuhnya.

 

Salah satu kes seperti itu melibatkan seramai 477 penjawat awam yang membeli rumah di sebuah kawasan perumahan di Kelantan pada 2011.

 

Salah seorang mangsa, Mohd. Syamsuddin Mohd. Nawi, 34, mendakwa, dia tidak menolak kemungkinan berlakunya komplot antara syarikat pemaju dan pegawai kerajaan khususnya di bahagian pinjaman perumahan bagi memudahkan kelulusan pinjaman perumahan dilakukan.

 

Beliau mendakwa, terdapat syarikat pemaju juga dipercayai telah memalsukan tandatangan peminjam bagi memudahkan urusan kelulusan permohonan pinjaman perumahan melibatkan penjawat awam.

 

“Surat setuju terima pinjaman sepatutnya ditandatangani oleh peminjam disebabkan jika mereka tidak tandatangan surat itu, maka pinjaman tidak lulus atau peminjam tak setuju, tetapi surat itu ada ‘tangan ghaib’ yang telah tandatangan.

 

“Jadi, kemungkinan ada komplot kerana jika tiada komplot kenapa pinjaman boleh lulus 100 peratus sedangkan rumah belum siap. Jika tiada komplot, maknyanya pegawai kerajaan tersebut mungkin cuai kerana telah meluluskan pinjaman perumahan 100 peratus kepada pemaju perumahan sedangkan projek masih belum siap,” dakwanya.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Syamsuddin berkata, dia menyedari berasa ditipu selepas melihat projek perumahan yang dibeli terbengkalai sedangkan bayaran bulanan dilakukan sehingga sekarang.

 

“Mengikut perjanjian, potongan gaji untuk pembayaran rumah hanya akan dilakukan selepas 18 bulan iaitu selepas pemaju perumahan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh tersebut.

 

“Bagaimanapun, mereka sudah mula potong pinjaman sejak tahun 2009 hingga sekarang tetapi projek perumahan tersebut belum siap sehingga hari ini. Malah, kita juga sudah membuat laporan polis tetapi sehingga hari ini masih tiada tindakan diambil,” jelasnya.

 

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Zulfikri Mohd. Zainuddin, 30, turut mempersoalkan bagaimana pinjaman perumahan boleh diluluskan 100 peratus kepada syarikat pemaju perumahan sedangkan rumah belum siap sepenuhnya.

 

“Dalam perjanjian, selagi rumah tak siap gaji tidak akan dipotong. Bagaimanapun, dalam hal ini, rumah belum siap tetapi gaji kami sudah dipotong.

 

“Rumah tak siap hingga sekarang tetapi gaji sudah kena potong setiap bulan. Malah, kita mendapati pemaju perumahan pula tak ada lesen,” dakwanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.