Pas Sedia Hadapi PRK DUN Chempaka – Ahmad Yakob

MACHANG 20 Feb. – Pas Kelantan bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Chempaka meskipun Barisan Nasional (BN) belum membuat keputusan untuk bertanding di kawasan itu.

 

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menentang mana-mana calon yang bertanding kerana yakin mampu mengekalkan kemenangan DUN tersebut.

 

“Walaupun BN tidak letak calon, kita akan tetap bersiap sedia menghadapi PRK seperti biasa kerana itu kerusi kemenangan kita.

 

“Insya-Allah, kita akan berusaha mempertahankan kerusi itu. BN akan bertanding atau tidak, kita akan hadapi seperti biasa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Desa Rahmat, di sini hari ini.

 

Dalam majlis tersebut, seba­nyak sembilan keluarga di Tema­ngan yang hilang tempat tinggal akibat bencana banjir dua bulan lalu menerima sebuah rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 74.3 meter persegi.

 

Baru-baru ini, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan pendapat peribadi supaya BN tidak meletakkan calon bertanding di DUN Chempaka bagi memberi tum­puan kepada kerja pemulihan pasca banjir di negeri ini.

 

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan menjangkakan kira-kira 2,600 mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal akan menduduki rumah baharu sebelum Ramadan ini.

 

Katanya, penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) diyakini akan mempercepatkan proses pembinaan rumah untuk mangsa banjir di negeri ini.

 

“Saya juga ingin menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat membina rumah untuk mangsa banjir supaya mengikut standard yang kita telah tetapkan,” katanya.

 

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Rohani Idris, 60, melahirkan rasa syukur dan gembira ke­rana mendapat kediaman baharu selepas hampir dua bulan terpaksa tinggal dalam khemah.

 

“Apabila rumah musnah akibat kejadian banjir, saya bagaikan hilang punca untuk membina kediaman baharu, Suami pula sudah meninggal dunia kira-kira setahun lalu dan saya hanya bergantung kepada duit yang dikirimkan anak-anak untuk meneruskan kehidupan.

 

“Kini saya berasa lega kerana mendapat kediaman baharu yang lebih selesa di lokasi lebih tinggi serta selamat,” katanya yang sudah lebih 40 tahun tinggal di Jalan Bukit Besi. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.