Himpunan Jalanan Kecoh, Adam Adli, Fariz Ditahan

KUALA LUMPUR – Himpunan #KitaLawan petang tadi dihadiri kira-kira 50 peserta bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada mulanya berlangsung secara aman bertukar kecoh apabila salah seorang aktivis, Adam Adli Abdul Halim ditahan polis.

 

Adam Adli yang diiringi lebih kurang enam anggota polis berpakaian biasa diarahkan ke Balai Polis Dang Wangi sebaik himpunan itu tamat.

 

Ekoran penahanan itu, peserta himpunan itu yang berada di hadapan pusat membeli-belah Sogo kemudian berkumpul di depan balai polis tersebut.

 

Keadaan mula kecoh apabila polis bertindak menutup pintu pagar utama dengan dikawal rapi lebih kurang 20 anggota di sebelah dalam dan luar balai polis itu.

 

Dalam kekecohan antara peserta dengan anggota polis, seorang lagi aktivis, Fariz Musa ditahan untuk dibawa ke Balai Polis Jinjang.

 

Adam Adli dan Fariz difahamkan ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan mengikut Akta Perhimpunan 2012 kerana menganjurkan himpunan tersebut.

 

Himpunan hari ini adalah kali kedua dianjurkan selepas perhimpunan sama dibuat, minggu lalu.

 

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha yang menyertai perhimpunan itu turut menyampaikan ucapan dengan menyeru kepada semua rakyat supaya menentang kezaliman dan penindasan.

 

“Bermula dengan satu langkah. Pesanan ayah (Anwar) jangan gusar, kerana perjuangan kita belum selesai, kita akan melawan kezaliman.

 

“Kami akan terus beri tekanan dengan menganjurkan himpunan seperti ini untuk menegakkan keadilan,” katanya.

 

Sebelum itu, himpunan dimulakan dengan Tarian Naga sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Pada 10 Februari lalu Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana gagal dalam rayuan mengetepikan sabitan kes meliwat pembantu peribadinya tujuh tahun lalu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.