Dewan Ulama Pas Gesa Ambil Tindakan Disiplin Usaha Jatuhkan Hadi

SERDANG – Dewan Ulama Pas Pusat menggesa Pemuda Pas Kuantan supaya membuat laporan disiplin ke atas pemimpin Pas Pusat dan ahli kumpulannya yang didakwa terlibat dalam gerakan untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yaakob menegaskan laporan disiplin itu perlu dibuat bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan.

 

“Sekiranya tiada laporan disiplin dibuat, ia akan mengundang budaya tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.

 

“Setelah laporan disiplin dibuat, Jawatankuasa Disiplin atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas perlu menyegerakan siasatan dakwaan tersebut sama ada benar atau sebaliknya,” katanya pada Multaqa Ulama Malaysia Semalaysia 2015 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim pada 8 Februari lalu yang mendedahkan terdapat usaha untuk menguasai Pas Pusat dan menjatuhkan Abdul Hadi.

 

Noorzazilafadli juga mengemukakan akuan berkanun yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden Pas yang terdiri daripada kalangan pemimpin Pas Pusat serta ahli kumpulannya yang berada di dalam sebuah kumpulan yang menggunakan Whatsapp sebagai medium komunikasi mereka.

 

Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan gerakan menyerang ahli Parlimen Marang itu sebagai usaha untuk menjatuhkan pemimpin Islam mengikut cara tidak syarie.

 

“Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan persoalan wala’ dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti yang berasaskan Islam,” ujarnya.

 

Beliau berkata lagi, tidak terkecuali tindakan disiplin juga perlu diambil ke atas mana-mana pemimpin dan ahli Pas yang terlibat dengan Pasma. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.