Tak Lapor Diri, Hanya Mat Yo Yang Tahu – Pengurus

PENGURUS Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal tanpa berselindung mengakui terkilan dengan tindakan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang tidak melaporkan diri untuk sesi latihan pertama skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Biarpun Subahan mengesahkan telah menerima alasan yang dianggap kukuh daripada Norshahrul atau Mat Yo yang tidak dapat menyertai 25 pelatih Harimau Malaya, beliau menganggap bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) itu harus mengambil pendekatan lebih profesional.

Mengulas lanjut, Subahan menjelaskan status sebenar pemain kelahiran Terengganu itu dikatakan memiliki masalah-masalah ‘tertentu’ selain mahu mengerjakan umrah dalam tempoh terdekat.

“Memang betul, pada mulanya dia (Mat Yo) tidak melaporkan diri (bersama skuad kebangsaan). Hanya malam tadi (semalam), dia datang berjumpa dengan saya dan menunjukkan sebab serta memberikan alasan yang kukuh.

“Dia telah berjumpa dengan memberikan alasan mahu mengerjakan umrah tetapi di sebalik sebab itu, ada lagi sebab yang saya rasa biarlah dia sendiri yang menceritakan.

“Bukan sahaja (sebab) umrah, malah ada sebab lain lagi penting mengapa dia tidak menyertai latihan skuad kebangsaan.

“Memang kita terkilan kerana dalam keadaan kita kekurangan pemain, dia pula tidak dapat menyertai latihan sebagai persiapan menghadapi Filipina dalam perlawanan persahabatan pada 1 Mac depan yang merupakan perlawanan kelas ‘A’.

“(Berdasarkan ranking) Filipina menduduki tangga ke-129, kita pula (ranking) ke-150. Kalau kita dapat keputusan yang baik, mungkin ia akan memberikan suntikan moral sebelum bertemu Yemen pada aksi kelayakan Piala Asia 2015.

“Namun, saya dan (jurulatih Harimau Malaya) Datuk Ong Kim Swee telah menerima alasan itu dan kita tidak mahu fikir mengenainya.

“Apa pun, kita masih ada Amri (Yahyah), Ahmad Fakri (Saarani), Safee (Sali) dan Bobby (Gonzales). Kita bagi pengecualian kepadanya supaya dia teruskan mengerjakan umrah dan selesaikan masalah-masalah yang dia hadapi itu,” katanya ketika ditemui di padang latihan Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Kim Swee menuntut Mat Yo menulis surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal melaporkan diri pada sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, Subahan memberikan peringatan kepada pemain-pemain lain agar tidak terlalu memandang remeh apabila dipanggil untuk menyertai latihan skuad negara.

Jelasnya, beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana pemain jika tidak menunjukkan komitmen atau semangat untuk bersama skuad kebangsaan.

“Saya mahu mengingatkan kepada semua pemain bahawa walaupun ada masalah peribadi, ada perkara-perkara yang mereka perlu selesaikan, mereka harus mengutamakan tugas untuk negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.