Taib Tak Campuri Urusan Pentadbiran Selepas Bersara

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bakal bersara menyatakan tidak akan mencampuri sebarang urusan pentadbiran negeri selepas ini.

Menyifatkan bakal penggantinya, Tan Sri Adenan Satem sebagai pemimpin berpengalaman, Taib berkata beliau hanya akan memberikan nasihat sekiranya diperlukan.

“Kami membesar bersama-sama, berkongsi pelbagai pengalaman sama ada dalam pembangunan atau politik. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Taib dikatakan akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak apabila berundur sebagai Ketua Menteri.

“Saya tidak tahu sama ada beliau akan memerlukan nasihat dari saya. Jika perlu, saya yakin jawatan Yang Dipertua Negeri merupakan kedudukan dimana anda berkongsi pengalaman kepada kepimpinan kerajaan tetapi jika diperlukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, Jumaat.

Mengenai spekulasi beliau akan mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri, Taib berkata beliau sanggup memberi pandangannya secara tidak rasmi kepada Adenan tetapi menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk menerimanya atau tidak.

“Sekiranya kepimpinan baharu merasakan mereka mahukan pandangan saya, saya sanggup memberikan tunjuk ajar. Tetapi saya tidak yakin sama ada beliau akan meminta nasihat saya,” katanya.

Taib, 77, akan berundur sebagai Ketua Menteri pada Jumaat minggu hadapan.

Tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin juga akan tamat pada hari itu.

Taib dijangka akan mengangkat sumpah bagi jawatan itu pada keesokan harinya dalam satu majis di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.