Bercerai, Aturan Sempurna Dari Tuhan Buat Saya – Erra Fazira

SELASA, 18 Februari 2014 barangkali satu tarikh yang tidak akan pernah luput dari ingatan seorang wanita bernama Fazira Wan Chik.

Pada tarikh itu, hanya sehari sebelum semuanya berubah, beliau baru mengetahui bahawa 18 Februari 2014 akan menjadi tarikh yang penting dalam kehidupannya.

Pada tarikh itu, beliau dijatuhkan talak satu oleh lelaki yang pernah menjadi separuh daripada belahan jiwanya selama tujuh tahun, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Sebaik talak dijatuhkan, rasmi wanita yang menggunakan nama pentasnya sebagai Erra Fazira menjadi ibu tunggal buat seorang cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran, 5.

Dengan rasminya juga, beliau memikul status seorang wanita berdikari buat kali kedua. Satu hal yang tidak mudah dijalani oleh seorang wanita yang tidak punya semangat luar biasa untuk meledani hari mendatang.

“Ya, sebenarnya saya hanya tahu untuk menyelesaikan masalah rumah tangga kami dengan bercerai sehari sebelum naik mahkamah. Hanya pada tarikh itu bekas suami saya mempunyai masa terluang, tetapi saya sebenarnya sedang sibuk.

“Namun, saya fikir seperti ini adalah aturan Tuhan yang paling sempurna tentang rumah tangga saya, maka kami sama-sama ke mahkamah pada hari tersebut. Dan kemudian, ya, kami berpisah secara baik,” ujar Erra tenang.

Sebenarnya, pada pertemuan kami di set rakaman program Primadona musim baharu malam Rabu lalu, Erra baru sehari menjalani tempoh edah sebagai seorang wanita berdikari.

Beliau sambut kami dengan ikhlas, biar kecamuk di dalam hatinya, hanya beliau seorang yang tahu. Beliau cuba membuah senyum semanisnya, namun di sebalik senyuman tersebut, dapat dirasa carik hatinya.

Lantas, dalam kebanyakan masa pertemuan tersebut, kami lebih banyak saling berpandangan. Tersenyum sendirian serta menghela nafas panjang yang seperti tidak tahu mana untuk dihumban, Erra tetap ramah melayan setiap persoalan.

Dijawab setiap persoalan dengan cermat dan rasional.

Begini jawapan yang diberi pada persoalan bagaimana rasanya apabila bangun pagi sehari selepas dilepaskan dari tanggungjawab menjadi seorang isteri.

“Saya tidak boleh cakap saya lega atau bersyukur atau perkara-perkara yang kelak akan menimbulkan salah faham pada pemahaman banyak orang lain. Apa yang boleh saya katakan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Cuma, saya percaya aturan Tuhan buat fasa hidup saya selepas berpisah ini elok. Saya terlalu sibuk sehingga bangun pagi saya tidak fikir tentang hari semalam (hari diceraikan) dan terus bersiap untuk melakukan kerja yang menanti,” katanya.

Namun, kata Erra, tipu jika beliau menafikan tidak langsung terlintas dalam mindanya tentang penceraian tersebut.

 

Dipersenda

Katanya: “Ada. Ada teringat, macam sewaktu saya sedang bekerja tadi (mengendali program Primadona) sewaktu semua dalam keadaan bersedia, saya ada terfikir tentang penceraian yang terjadi, tapi saya tepis cepat-cepat. Saya tidak mahu larut dengan emosi.”

Jelas wanita yang kini sedang mempersiap diri untuk Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya pada 3 Mac ini lagi, beliau meminta jasa baik khalayak agar lebih sensitif dan tidak mempersenda kisah penceraiannya seperti yang dilakukan oleh segelintir pihak sebaik berita tersebut tersebar.

Sebagai individu yang sedang melalui perit sebuah keruntuhan rumah tangga, hatinya sedikit tercuit dengan jenaka dan kata-kata sinikal yang ditulis di internet.

“Saya sedikit terkilan apabila ada yang mempersenda tentang penceraian saya. Saya kira ini adalah hal yang sensitif dan tentang kehidupan saya, jadi apabila ia dipersenda saya terasa,” katanya perlahan.

Pengakuannya itu sekali gus menepis tanggapan khalayak tentang dirinya yang dilihat kuat mengharungi takdir jodoh yang tidak kesampaian ini.

Erra hanya tersenyum tawar dan sesekali menggeleng kepala saat diasak bahawa dirinya seorang yang kuat dan tabah.

Jelasnya: “Jika kalian menganggap saya seorang yang kuat, maka kalian belum benar mengenali diri saya. Orang boleh berfikir tentang ‘oh kuatnya Erra’.

“Sejujurnya, saya seorang yang melankolik. Seorang yang suka melayan perasaan. Sebab itu saya bersyukur kerana aturan Tuhan buat saya selepas bercerai sangat sibuk sehingga membuatkan saya tidak sempat mahu melayan perasaan dengan lebih dalam.”

 

Fobia

Lantas kepada siapa semua rajuk hati diluahkan?

“Kepada Tuhan,” katanya ringkas sebelum menyambung: “Saya selalu percaya, wanita yang terlalu kuat pun tidak boleh juga. Ada pada saat-saatnya yang rapuh dan perlu muhasabah diri. Maka kepada Ilahi tempat yang paling hakiki.”

Ditanya tentang frasa fobia kasih tidak kesampaian, Erra lama terdiam. Beliau menarik nafas yang cukup dalam sebelum memberitahu beliau tidak mahu bercakap tentang hal tersebut.

Hanya pintanya, pada saat ia harus mengalir pergi seperti air, biarlah ia mengalir deras.

Dan pada persoalan tentang adakah beliau ada memberitahu atau menjelaskan kepada Aleesya tentang situasi yang dilaluinya dan mantan suaminya itu, Erra memilih untuk tidak mahu memberi jawapan.

Sebaliknya, jelas Erra: “Saya minta maaf kerana saya telah membuat keputusan untuk tidak mahu bercerita tentang bekas suami dan anak saya.

“Saya tidak berhasrat untuk berkongsi tentang bagaimana saya menangani anak saya, kehidupan saya bersama dia atau sebagainya.

“Matlamat saya sekarang hanya mahu membahagiakan dia. Segala kesedihan yang saya lalui mahu saya lipat kemas dalam buku saya sendiri yang tidak mahu saya kongsikan bersama sesiapa.”

Justeru, selain membahagiakan cinta hatinya si Aleeysa, apa lagi yang Erra impikan?

Jawab Erra mengakhiri bicara kami: “Saya mahu fokus terhadap karier saya.

“Saya rindu untuk menyanyi dan menghiburkan khalayak. Insya-Allah yang paling hampir menerusi Konsert Teaterikal Suara Kita.

“Jadual lakonan saya juga sudah padat sehingga bulan Jun dan saya berharap agar syarikat saya, Fresis Sdn. Bhd. juga akan menerbitkan lebih banyak projek pada masa akan datang.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.