Bas Dikenakan Peraturan Ketat Demi Keselamatan Penumpang

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas ulang alik dan pengangkutan awam lain yang menggunakan laluan berbukit perlu tertakluk kepada peraturan ketat untuk memastikan ia selamat untuk dinaiki, menurut Panel Penasihat Bebas kepada Kementerian Pengangkutan mengenai nahas bas di Genting Highlands.

Peraturan ketat itu termasuk tidak membenarkan penumpang berdiri dan mempunyai had khas terhadap jumlah maksimum penumpang yang duduk.

Panel tersebut dalam laporan akhir berkenaan susulan nahas pada Ogos lalu yang diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan menyatakan peraturan ketat itu perlu dibuat berdasarkan panjang, lebar, tinggi dan berat dengan muatan sesuatu bas dan perlu dikaji semula oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perkara itu merupakan antara 51 cadangan penambahbaikan yang dikemukakan susulan nahas terburuk berlaku di negara ini pada 21 Ogos lalu.

Panel tersebut turut mencadangkan bas dua tingkat tidak dibenarkan menggunakan laluan berbukit sehingga kelemahan ini diperbaiki oleh pihak berkuasa terbabit.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, syor panel tersebut turut digunapakai bagi beberapa laluan berbukit yang terdedah kepada risiko kemalangan dan diklasifikasikan sebagai kawasan hitam di seluruh negara.

“Dengan pendedahan laporan ini, saya berharap tidak ada lagi pihak akan menunding jari kepada kami atau membuat tuduhan melulu terhadap kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran buku Malaysian Armed Forces: The Nation’s Shield 80th Anni­versary Book di Wisma Pertahanan di sini, Khamis.

Hishammuddin berkata, panel itu akan ditukar sebagai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan.

Laporan itu mendedahkan bas tersebut dipandu melebihi had laju adalah faktor utama nahas tersebut.

Faktor kedua ialah status dan reka bentuk jalan raya memberi persepsi tidak betul kepada pemandu untuk memandu lebih laju manakala ‘Safety Barrier’ tidak memenuhi piawaian keselamatan serta kedudukan ‘Emergency Escape Ramp’yang sukar digunakan semasa kecemasan.

Terdapat faktor lain yang menyumbang kepada punca kemalangan tersebut termasuk aspek kenderaan didapati mengalami masalah brek yang kurang berkesan.

Selain itu, Genting Highlands Transport Sdn Bhd didapati kurang memberi penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Kemalangan di Kilometer 3.6, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki seramai 53 orang itu terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.