SUV Putih Terjunam Dalam Laut Sudah Ditemui

GEORGETOWN – Kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 di Jambatan Pulau Pinang awal pagi Ahad, sudah ditemui.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang dipetik portal Harian Metro, kenderaan terbabit ditemui 15 meter daripada tiang 34 jambatan itu, pada jam 4 petang tadi.

Menurutnya, setakat ini usaha untuk menaikkan SUV terbabit akan dilakukan menggunakan kren.

“Pasukan operasi dan menyelamat (SAR) kini masih menjalankan kerja-kerja mereka di lokasi kenderaan itu ditemui.

“Kita akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat,” katanya dipetik portal itu.

Dalam kejadian 2.45 pagi Ahad itu, SUV berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Vios hitam di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam dalam laut.

Identiti pemandu SUV dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis pada 5 petang Ahad apabila anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta tidak pulang. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.