Remaja Autisme Dedah Maklumat Sulit AS

LONDON – Seorang pengodam remaja ‘autisme’ Britain telah membocorkan maklumat peribadi lebih 20,000 pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pasukan ke­selamatan Amerika Syarikat (AS), sebuah mahkamah di sini diberitahu semalam.

Menurut Metro.co.uk petik Utusan, Kane Gamble yang kini berusia 18 tahun didakwa mendapat akses kepada akaun pegawai kanan risikan AS kerana berang dengan negara kuasa besar itu yang dakwanya korup dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam satu pendedahan mengejutkan, Gamble didakwa pernah memuat naik kenya­taan, ‘saya memiliki anda’ pada skrin televisyen di sebuah kediaman pegawai berpangkat tinggi agensi risikan tersebut.

Gamble hanya berusia 15 tahun ketika dia melakukan perbuatan berkenaan terhadap ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan dan timbalan pengarah FBI, Mark Giuliano daripada rumah­nya di kawasan perumahan Leicestershire.

Malah budak sekolah itu turut mengasaskan penubuhan kumpulan Cracks With Attitude (CWA) yang tampil dalam talian mengaku bertanggungjawab mengodam beberapa akaun e-mel dan telefon.

Beberapa dokumen sensitif turut diperoleh daripada ruangan mesej peribadi Brennan termasuk permohonan 47 muka surat bagi pelepasan keselamatan rahsia.

Pendakwa raya, John Lloyd-Jones memberitahu mahkamah jenayah pusat Old Bailey bahawa, kumpulan itu secara salah merujuk mereka sebagai penggodam.

Gamble turut didakwa menggunakan profil Twitter samaran untuk berkomunikasi dengan media.

Remaja itu dalam satu kes lain pernah mengaku salah terhadap 10 kesalahan mengikut akta penyalahgunaan komputer antara bulan Jun 2015 dan Februari 2016 dan masih menunggu hukuman.

Sementara itu, mahkamah juga dimaklumkan tentang keadaan kesihatan Gamble yang didakwa tidak memahami sepenuhnya akan kesan perbuatannya kerana dia seorang autisme.

Bagaimanapun seorang lagi pakar meragui Gamble adalah seorang pesakit autisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.