Kerajaan AS Lumpuh

WASHINGTON – Ulang tahun pertama pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dicemari kontroversi apabila kerajaan AS lumpuh kerana gagal mencapai kata sepakat dalam meluluskan belanjawan negara tengah malam kelmarin.

Menurut AFP, malah, Trump yang mewakili Parti Republikan menuduh Demokrat menjadikan rakyat Amerika sebagai ‘tebusan’ dengan permintaan mereka yang sukar dipenuhi.

Bermula tengah malam kelmarin, kegagalan mencapai persetujuan dalam pelan belanjawan, perkhidmatan persekutuan terpaksa dihentikan walaupun ahli Kongres terus bertengkar di Dewan Senat.

Perkhidmatan penting dan aktiviti ketenteraan akan diteruskan tetapi ramai pekerja sektor awam tidak dibayar gaji dan diminta bercuti sehinggalah kata sepakat dicapai untuk membuka semula kerajaan AS, petik Kosmo

Kesepakatan untuk mengelak penutupan itu muncul kelmarin ketika Trump hampir mencapai perjanjian dengan ketua ahli Senat Demokrat, Chuck Schumer mengenai tindakan mencegah pengusiran pendatang tanpa izin kanak-kanak yang tiba di negara itu.

Namun, tiada kompromi yang dicapai Kongres bagi memastikan kerajaan terus dibuka selama empat minggu lagi sementara pengaturan akhir dibincangkan dan Republikan gagal memenangi sokongan Demokrat untuk membawanya kepada undian.

White House mengecam Schumer dan menyalahkan beliau atas penutupan kerajaan. Jurucakapnya, Sarah Sanders mengisytiharkan Trump tidak akan berunding mengenai perjanjian imigresen sehinggalah Kongres bersetuju menyambung semula belanjawan normal kerajaan.

“Malam ini (kelmarin), mereka meletakkan politik lebih utama berbanding keselamatan negara, keluarga ketenteraan, kanak-kanak lemah dan kemampuan negara untuk melayani semua rakyatnya.

“Kami tidak akan berunding tentang status pendatang tidak sah manakala Demokrat menjadikan rakyat AS sebagai tebusan dengan permintaan mereka yang tidak masuk akal,” kata Sanders.

Demokrat menuduh Republikan meracuni peluang perjanjian dengan Trump menolak membiayai program Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-Kanak (DACA) yang melindungi 700,000 dreamers iaitu imigran tanpa dokumen yang tiba di AS daripada diusir pulang.

Sejak tahun 1990, sebanyak empat kali kerajaan AS ditutup. Kali terakhir ketika pentadbiran Barack Obama pada 2013 yang menyaksikan lebih 800,000 kakitangan awam diarah cuti tanpa gaji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.