Janna Janji Tak Mudah Melenting

KUALA LUMPUR: Pelakon Janna Nick mengakui, hidupnya lebih tenang dan gembira apabila tidak lagi lantang membalas komen negatif yang cuba menguji kesabarannya.

Pemilik nama Nurul Jannah Muner, 22, itu berkata, percutian di Korea Selatan bulan lalu memberinya ruang untuk menilai semula setiap tindak-tanduknya selama ini, lantas menggerakkan hatinya supaya berubah.

“Seharian bermuhasabah diri, memikirkan semula segala salah dan silap saya selama ini. Tiba-tiba, bagaikan ada ‘hentakan’ yang membuat tersedar dari lena. Saya perlu berubah menjadi manusia lebih baik.

“Dahulu saya mudah melatah dan terlalu lantang membalas setiap kali dicuit. Pantang hati terusik, pasti akan melenting. Sikap itu hanya menyerlahkan kelemahan diri yang masih tidak matang.

“Sekarang saya lebih positif berdepan setiap situasi dan tidak lagi melenting apabila diusik. Ini masa yang tepat untuk lakukan perubahan, bersesuaian dengan permulaan tahun baharu,” katanya.

Tambah Janna, sejak itu, fikirannya semakin terbuka untuk melihat kehidupan dari pelbagai sudut. Kematangan itu juga membuatkan dia lebih mudah mengalah dan tidak takut mengakui kesilapannya.

Pelakon drama My Coffee Prince itu mengakui, sejak menerapkan sikap positif itu, dia berasa dirinya seperti orang baharu.

“Alhamdulillah, hidup saya kini lebih tenang dan gembira. Saya juga berazam mahu mendekatkan lagi diri kepada masyarakat dan memanfaatkan media sosial untuk menyebarkan perkara baik,” katanya.

Menyentuh tanggungjawab baharunya sebagai pengacara Melodi bersama Ajak Shiro, Janna bersyukur percubaannya diterima baik peminat program hiburan itu.

Kata Janna, meskipun terdapat sekelompok penonton yang mengecam, jumlah itu kecil berbanding mereka yang menyokongnya.

“Kalau dikira nisbah, hanya 1:10 yang mengutuk, selebihnya memberikan komen positif. Ramai seronok, malah sedia memberi saya peluang untuk mengasah bakat.

“Kepercayaan mereka menjadi pembakar semangat untuk saya lakukan yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Janna akan ke Singapura menjalani penggambaran drama untuk siaran saluran televisyen di negara itu, selain menjayakan drama untuk slot Akasia di TV3.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.