Faizal Tahir Akur Tangguhkan Konsert

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir akur menangguhkan konsert solonya yang sepatutnya berlangsung akhir tahun lalu untuk meraikan ulang tahun ke-11 pembabitannya dalam industri muzik berikutan kesuntukan masa dan terikat dengan pelbagai komitmen.

Faizal, 39, berkata ia ditangguhkan atas permintaannya sendiri memandangkan jadual kerja padat untuk menghasilkan album terbaharu, selain menerbitkan album penyanyi bernaung di bawah label miliknya, Faithful Music.

Penyanyi lagu Assalamualaikum itu juga perlu mengikuti Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), selain bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi program jelajah Institusi Pengajian Tinggi, di seluruh negara.

“Untuk menganjurkan konsert, ia tak boleh dibuat tergesa-gesa dan memerlukan perancangan rapi.

“Memandangkan saya sedang menyiapkan album baharu, sayang rasanya jika lagu yang dimuatkan tidak dinyanyikan ketika konsert.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk promosi dan pemasaran. Memikirkan perkara itu, lebih baik saya tangguhkan. Penaja masih bermain tarik tali dan belum memberikan pengesahan.

“Insya-Allah, konsert itu diadakan selepas raya. Saya difahamkan ramai penyanyi lain berhasrat menganjurkan konsert sebelum puasa, jadi saya tidak mahu bersaing,” katanya.

Mengakui bimbang dengan isu penjualan tiket konsert penyanyi tempatan yang kurang memberangsangkan, Faizal berkata, dia juga memerlukan masa menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal.

“Paling utama memantapkan stamina. Secara jujur, jika diminta menyanyi lima lagu berterusan saya mudah letih. Saya perlukan masa memantapkan stamina, selain menjalani latihan vokal,” katanya.

Mengulas mengenai pembikinan album terbaharunya, Faizal berkata, pembikinan produksi itu masih berbaki 20 peratus sebelum dilancarkan April depan.

Berbeza dengan karya dihasilkan sebelum ini, bekas peserta program realiti One In A Million musim pertama ini akan tampil dengan konsep lagu lebih bervariasi.

“Mungkin orang akan kata album ini syok sendiri, tetapi saya tak kisah. Cara orang dengar lagu sekarang berbeza, terutama apabila era digital mengambil alih.

“Setiap lagu dalam album ini mempunyai kesinambungan dan saya berharap peminat dapat menerima pembaharuan itu,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.