Akhirnya Dapat Berlakon Juga

KUALA LUMPUR: Hasrat Enot untuk kembali memeriahkan dunia lakonan akhirnya menjadi kenyataan apabila dilamar sutradara, Erma Fatima, membintangi teater muzikal seminar pertama di Malaysia berjudul #YouCanDuit – Pemangkin Pendapatan Digital, di Istana Budaya.

Dipentaskan hanya pada hari ini, ia juga menjadi percubaan pertama Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah berlakon teater di pentas berprestij berkenaan.

Menerusi teater yang turut dibintangi oleh Nabila Huda dan Dynas Mokhtar itu, Enot membawakan watak Azimah.

Teater terbabit agak berbeza apabila menampilkan ‘speaker’ dalam kalangan artis seperti Datuk Rosyam Nor, Nabil Ahmad dan Fattah Amin. Masing-masing akan berkongsi ilmu serta pengalaman dalam perniagaan dengan khalayak.

“Alhamdulillah, minat saya terhadap lakonan tidak pernah pudar. Memang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya tak banyak menerima undangan berlakon. Kali terakhir saya berlakon pun kira-kira dua tahun lalu, menerusi drama Bibik Bibikku siaran TV3.

“Jadi, saya memang teruja apabila dapat sama-sama menjayakan teater ini. Tambahan pula, ia dipentaskan di Istana Budaya. Saya berharap ia akan menjadi pembuka jalan untuk saya berlakon drama pula. Lagipun, saya memang sudah sihat dan boleh bekerja seperti biasa,” katanya kepada BH Online.

Enot, 39, yang menderita kanser usus tahap dua beberapa tahun lalu berkata, tindakannya menukar nombor telefon juga antara sebab dirinya sukar dicari pihak produksi, sebelum ini.

Beliau yang kini turut rancak menjalankan perniagaan produk pelangsingan badan berkata, tumpuannya sekarang adalah memajukan dirinya.

“Saya pernah berdepan dengan ujian, keperitan dan penderitaan yang teruk. Bagaimanapun saya mula bangkit semula pada tahun lalu. Kini, saya hanya mahu terus maju ke depan.

“Dalam soal jodoh pula, sudah tentu saya menipu jika mengatakan enggan memiliki sesiapa untuk berkongsi kasih sayang. Saya harap akan ditemukan dengan jodoh yang baik satu hari nanti. Paling utama, dia harus menerima dua anak saya,” katanya yang pernah dua kali mengalami keruntuhan rumah tangga.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.