QZ8501 : Kelajuan Tinggi Dari Biasa Punca Pesawat Berhenti Dan Terhempas

Jakarta – Pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada Disember lalu dilaporkan telah mendaki pada kelajuan lebih tinggi daripada biasa dan kemudian terhenti, kata Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan pada Selasa.

 

Penerbangan pada 28 Disember itu berlaku dalam cuaca ribut kencang sepatutnya menjadi satu perjalanan yang singkat dari bandar Surabaya ke Singapura.

 

Buat masa ini data dari kotak hitam pesawat masih lagi di bawah siasatan penganalisis sebelum laporan awal dikeluarkan. Ignasius memberitahu, beberapa minit sebelum pesawat itu hilang dari radar, juruterbang telah meminta untuk naik pada ketinggian tertentu untuk mengelakkan ribut.

 

Namun kebenaran tidak diberikan serta-merta kerana kesesakan trafik udara. “Pada minit terakhir, pesawat itu tiba-tiba naik pada kelajuan lebih daripada had biasa dan kemudian terhenti,” kata Ignasius kepada pemberita merujuk kepada data radar.

 

Terdahulu dalam sidang parlimen negara, Ignasius memberitahu data radar menunjukkan Airbus A320-200 naik pada ketinggian 6,000 kaki (1,800 meter) seminit sebelum kemalangan itu.

 

Terdapat beberapa pesawat lain di kawasan yang sama pada masa itu.

 

“Saya rasa ia jarang berlaku walaupun untuk jet pejuang untuk dapat naik pada 6,000 kaki per minit.

 

“Untuk penerbangan komersil, naik pada ketinggian sekitar 1,000 hingga 2,000 kaki mungkin sudah dianggap luar biasa, kerana pesawat itu tidak dibina begitu,” katanya.

 

Ignasius berkata demikian merujuk kepada analisis awal perakam suara kokpit.

 

Penyiasat Indonesia berkata mereka mahu menumpukan siasatan yang berkemungkinan berlakunya kesilapan manusia atau masalah dengan pesawat yang menyebabkan pesawat terhempas.

 

“Kami tidak mendengar adanya pihak lain atau sebarang letupan,” kata penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Nurcahyo Utomo kepada pemberita bagi menjelaskan mengapa faktor pengganas telah dikeluarkan.

 

“Kami melihat kemungkinan kemalangan berlaku atas sebab kerosakan pesawat dan faktor manusia,” kata Nurcahyo tanpa memberi maklumat lanjut.

 

Jawatankuasa ini juga memeriksa pelbagai maklumat dalam perakam data penerbangan yang memantau setiap bahagian utama pesawat. Laporan awal dijangka akan dikeluarkan pada 28 Januari.

 

Setakat ini, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan telah menemui sejumlah 53 mayat dengan 45 mayat setakat ini telah dikenal pasti identiti oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI). Pesawat yang membawa 162 orang itu terdiri daripada 155 penumpang warga Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia, seorang rakyat Britain dan seorang warga Perancis. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.