Politik Malaysia Penuh Drama, Perbincangan Lebih Terbuka Apabila Ramai Yang Terlebih Cerdik

Kuala Lumpur – Slogan kerajaan, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan membawa pengertian besar terhadap peranan masyarakat dalam negara perlu diberi perhatian bersama usaha membangunkan negara.

 

Sebagai anggota masyarakat, apa yang difikirkan sama ada soal taraf hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, bantuan dan pinjaman kerajaan dalam membantu meringankan beban membawa kepentingan umum yang perlu diambil kira.

 

Begitu juga, masyarakat memainkan peranan besar dalam senario politik negara apabila mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan empat tahun sekali.

 

Merujuk pada politik semasa, apa yang menimbulkan persoalan adalah sokongan masyarakat khususnya golongan belia terhadap parti politik ketika ini.

 

Kebelakangan ini, politik Malaysia seolah penuh drama apabila masalah dalaman parti tidak lagi dibincangkan secara tertutup sebaliknya, didedahkan kepada khalayak menerusi media untuk mewujudkan perdebatan.

 

Apakah kenyataan dikeluarkan segelintir ahli politik negara ini hanya meluahkan emosi atau terlebih cerdik sehingga wujud ahli sendiri mencadangkan pemimpinnya berundur untuk masa depan parti dan negara.

 

Sebagai masyarakat, sudah tentu permainan politik sebegini memberi gambaran berbeza terhadap sokongan mereka selepas ini. Apa yang perlu ditekankan, orang ramai perlu bijak dalam menganalisis sesebuah perkara yang dijadikan isu.

 

Sama ada menyokong parti pemerintah atau pembangkang, tidak terkecuali mentaliti masyarakat bergantung pada pentadbiran pemimpin itu sendiri.

 

Menerusi pembabitan golongan muda aktif dalam politik, ia mewujudkan persepsi bahawa mereka mampu menarik sokongan belia menyatakan sokongan terhadap parti yang disifatkan lebih adil dalam memperjuangkan masa depan negara.

 
Dyana Sofea antara belia yang mencuri tumpuan ramai apabila menyertai Parti Demokratik Rakyat (DAP) yang terkenal dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ sebagai usaha menghapuskan sentimen perkauman di negara ini.

 

Apabila seorang wanita Melayu memilih mengikut telunjuk bangsa lain dalam perjuangan mereka, persoalannya adakah ia satu perjuangan sebenar atau tiada pegangan jati diri.

 
“Saya inginkan Malaysia yang lebih baik tanpa sifat hipokrit dan tidak melihat perbezaan warna kulit dan agama sebagai satu halangan. Macam ‘like-minded’, saya tanamkan semangat yang cekal mahu berbakti pada negara.

 

“Saya tertarik dengan kecekalan pemimpin-pemimpin DAP seperti mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang tidak pernah putus asa bekerja keras berpuluh tahun tanpa menerima apa-apa ‘personal gain’. Mereka berjuang untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

 

Semua orang tahu bahawa DAP dan Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) tidak ‘ngam’. Malah, ibu Dyana sendiri pernah memegang jawatan tertinggi dalam PERKASA tetapi dia tetap mendapat sokongan padu daripada ibunya sendiri.

 

“Beliau sangat menyokong dan pernah berada dalam Semangat 46 dan faham sifat ‘oposisi’. Masa saya bertanding di Teluk Intan, beliau sentiasa menyokong saya sebagai seorang anak walaupun kami berbeza pegangan politik,” katanya.

Katanya, pembentukkan sebuah negara yang maju dan rakyat yang intergriti bukan saja mengharapkan sokongan terhadap parti tetapi keperibadian pemimpin itu sendiri.

 

“Saya tertarik dengan DAP sebab semangat juang yang tidak pernah putus untuk rakyat dan bukan kepentingan peribadi. Semangat juang ni hanya boleh terus hidup jika seseorang itu ikhlas dan percaya dengan apa yang mereka buat. Itu sebab utama saya tertarik dengan perjuangan DAP.

 

“Kita sudah terlalu biasa dipisahkan seperti ‘divide & conquer’ dan sifat hipokrit, 1Malaysia & ketuanan Melayu sampai menimbulkan rasa benci antara satu sama lain.

 

 

“Hal ini yang menimbulkan sifat ekstremism. Orang kita merupakan generasi ‘menurut perintah’ oleh suara populis dan pemimpin sampai tidak boleh berfikir apa yang baik atau buruk.

 

“Kita kena ingat semangat perpaduan dan kebersamaan yang dipupuk Tuanku Abdul Rahman sehingga negara kita merdeka. Tidak perlu dilakukan dengan cara ekstrem tetapi nilai perpaduan dan kerelaan yang tinggi,” katanya.

 

Tegas Dyana, generasi ‘saya menurut perintah’ adalah perkara tidak sihat.

 

“Ini adalah tanggungjawab masyarakat untuk mendidik satu sama lain supaya boleh menilai, membuat keputusan dan seterusnya menyuarakan suara mereka sebagai ‘main player’ dan ‘contributors for nation building’,” katanya.

 

Seperti mana pendirian Shamsiah Fakeh digelar komunis apabila berdiri di belakang Parti Komunis Malaya (PKM), apakah Dyana juga seolah mengikut jejak langkah pemimpin sebelumnya.

 

“Well, DAP’s ideology is centre left. We are social democrats. If you look closely, Tun Razak’s policy formulation reflected centre left ideology.

 

 

“Like New Economic Programme (NEP), it was formulated to eradicate poverty to move towards social equality,” katanya.

 

Bagi Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin, beliau menegaskan ramai masyarakat di negara ini tidak realistik dalam menunjukkan sokongan kepada pemimpin termasuk segelintir berasakan perkara itu satu kewajipan tanpa mengira salah atau betul tindakan pemimpin mereka.

 

 

“Ini sudah menjadi masalah yang parah kepada orang kita. Budaya mengampu, memuji, menunjukkan sokongan berlebih-lebihan sudah menjadi kebiasaan untuk cari makan.

 

“Bagi saya, kalau pemimpin itu membuat benda yang betul dan baik tidak perlu dipuji sangat sebab itu memang kewajipan mereka sebagai pemimpin.

 

“Atas sebab itu, mereka dipilih menjadi pemimpin tetapi jika mereka buat salah, langgar undang-undang dan hukum hakam; wajib kita tegur dan perbetulkan kesilapan mereka.

 

“Misalnya berpelukan dengan bukan muhrim, boros dan membazir. Takkan kita nak duduk tengok saja?,” katanya kepada Malaysian Digest.

Tambahnya, rakyat Malaysia tidak ramai yang berani tampil menegur kesalahan pemimpin mereka apabila sibuk mencari makan melalui pemimpin yang disokong. Lebih kritikal apabila mereka tetap mengatakan tindakan itu betul walau terang-terangan salah.

 
“Kalau kita nak menegur pemimpin yang ada ‘jawatan tinggi’ dalam kerajaan, selain sebab jiwa feudal yang menyebabkan keberanian itu sudah tidak ada.

 

“Ramai juga yang risau melakukannya kerana bimbang pekerjaan, perniagaan dan punca rezeki tersekat. Malah, ada yang takut sebab bimbang kehidupan mereka terancam.

 

“Setakat tegur, takkan kena penjara atau didakwa di mahkamah kecuali fitnah. Semua orang cakap mereka sayang parti pilihan mereka, sayang negara dan sayang bangsa.

 

“Hakikatnya, lebih ramai penyokong yang lagi sayangkan pemimpin mereka jika disogokkan dengan sesuatu. Sampai hari ini diikutkan ramai pemimpin kita disokong bukan berasaskan kebenaran atau kepentingan parti dan negara tetapi lebih bersifat ganjaran yang bakal diterima,” katanya.

 

Menilai pandangan dan ciri kepimpinan seperti Dyana dan Shahbudin, sokongan ahli terhadap pemimpin dalam sesebuah parti cukup penting dalam mencerminkan perjuangan parti itu sendiri.

 

Ini juga memberi kesan terhadap usaha parti politik dalam menarik perhatian masyarakat khusus golongan muda menyokong atau turut serta berjuang sebagai ahli.

 

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, definisi penyokong bodoh dan sombong perlu dielak. Malah, parti pemerintah, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat perlu berdiri di landasan sebenar dalam membimbing masyarakat agar mereka menjadi penyokong yang lebih realistik. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.