Pelabur Asing Kekal Di Malaysia

PUTRAJAYA 20 Jan. – Kebimbangan pelbagai pihak terhadap penghijrahan besar-besaran pelabur asing dari negara ini dijangka tidak berlaku.

 

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka kekal kukuh dan negara ini akan tetap menjadi pilihan pelabur asing.

 

Katanya, keadaan akaun semasa negara juga kekal sihat berikutan sumbangan daripada FDI kepada ekonomi Malaysia.

 

“Kita ada lebihan dalam akaun semasa dan langkah kerajaan mewujudkan Majlis Eksport Kebangsaan bagi mempromosikan eksport negara merupakan tindakan untuk meningkatkan nilai tambah terhadap perkhidmatan eksport sekali gus menambah baik pasaran eksport negara di pasaran baharu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penjelasan mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

 

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan perutusan khas itu memberitahu imbangan akaun semasa negara berkait langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport.

 

Menurut Zeti Akhtar, ekonomi negara juga berkembang pada landasan yang betul selaras dengan komitmen kerajaan ke arah mewujudkan konsolidasi fiskal.

 

Mengulas lanjut beliau berkata, rizab Malaysia mengalami penurunan kira-kira AS$19 bilion (RM68.2 bilion) sejak tahun lalu.

 

Menyentuh mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini, Zeti Akhtar berkata, pelaksanaan tersebut merupakan langkah awal bagi mengukuhkan dan menyokong ekonomi negara. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.