Misi ATM Mengurangkan Trauma Mangsa Banjir

KUALA KRAI (Bernama) — Meskipun banjir mulai reda di kebanyakan tempat di Kelantan namun tugas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini masih belum boleh dikira tamat.

 

Panglima 8 Briged Tentera Darat Malaysia, Brig. Jen. Datuk Azmy Yahya memberitahu Bernama, tugas pasukannya hanya akan selesai apabila penduduk dapat menjalani semula rutin kehidupan harian mereka.

 

“Bagi kami, memulihkan keadaan di sini adalah satu tugas yang serius. Tindakan-tindakan segera diambil dalam pelbagai cara untuk mengurangkan kesengsaraan yang dialami mangsa banjir,” kata beliau.

 

Tegas Azmy, semakin cepat mangsa banjir dapat kembali melaksanakan rutin harian mereka, semakin cepatlah mereka dapat melupakan trauma bencana.

 

Rutin yang dimaksudkan termasuklah aktiviti seperti bersekolah, melaksanakan ibadah di masjid serta membeli barangan keperluan di kedai-kedai.

 

“Jadi kami tidak ada pilihan melainkan bertindak pantas memulihkan semua kemudahan ini,” tambah beliau.

 

LIMA FASA GERAK KERJA

 

Banjir baru-baru ini menjejas teruk negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan beberapa bahagian Pahang. Ia adalah banjir paling buruk melanda negara sejak tiga dekad lepas dengan muntahan air dan lumpur memaksa pemindahan 103,000 mangsa di samping memusnahkan beribu-ribu harta benda di ketiga-tiga negeri berkenaan.

 

Pasukan 8 Briged ini mula digerakkan pada 17 Dis, 2014 iaitu apabila aras air semakin naik dan memerlukan operasi pememindahan penduduk.

 

Anggota Briged berkenaan memainkan peranan penting dalam usaha menyelamat dengan menggunakan aset-aset seperti bot tempur dan helikopter.

 

Selain itu, trak-trak berkapasiti tujuh dan tiga tan digunakan untuk mengangkut bekalan makanan serta keperluan lain bagi mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

 

Aset-aset tentera daripada kem lain di seluruh negara turut dikerah ke Kelantan untuk membantu melancarkan misi berkenaan.

 

Statistik daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) merekodkan 27 bot, 28 lori, empat kenderaan pacuan empat roda, empat helikopter dan dua ambulans digunakan ATM dalam misi mereka.

 

Fasa kedua bermula 26 Dis dengan fokus memastikan bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir tidak terputus.

 

“Fasa ketiga ialah pemulihan kemudahan asas penduduk seperti bekalan elektrik dan air manakala fasa keempat ialah pembersihan kawasan bandar, pasar dan tempat-tempat awam seperti masjid, balai raya, sekolah dan dewan orang ramai,” kata Azmy.

 

Fasa kelima ialah bancian untuk menganggarkan kerosakan akibat bencana, yang mana ATM memainkan peranan untuk membantu agensi-agensi bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan.

 

KEHADIRAN DIRASAI

 

Tinjauan penulis mendapati pasukan tentera memainkan peranan besar dalam memulihkan kemudahan awam, menyedia perkhidmatan kesihatan dan tempat tinggal sementara kepada mangsa bencana.

 

Anggota tentera dengan berbekalkan mop lantai dilihat bertenaga mencuci bangunan sekolah, membaiki saluran longkang yang tersumbat dan mengawal lalulintas yang sesak terutama pada hujung minggu dengan hadirnya pelbagai pihak dari seluruh negara menjalankan pelbagai bentuk program bantuan.

 

Perkhidmatan kesihatan disalur melalui Hospital Medan yang merupakan hospital bergerak dilengkapi dewan bedah, x-ray, klinik dan farmasi.

 

Anggota tentera turut membantu memasang khemah-khemah penempatan sementara yang disalur pelbagai pihak.

 

ATM turut mengubahsuai bangunan-bangunan di kemnya di Sungai Durian dekat sini sebagai penempatan sementara untuk mangsa banjir.

 

Sehingga artikel ini ditulis, 3,043 anggota tentera terdiri daripada 164 pegawai dan 2,879 anggota lain pangkat sudah dikerahkan ke kawasan bencana seluruh Kelantan sejak ia bermula sebulan lepas.

 

TIADA CABARAN TIDAK TERTEMPUH

 

Mengenai cabaran yang dihadapi pasukan ATM menguruskan kawasan bencana, Azmy menjelaskan bahawa tidak ada cabaran yang tidak dapat ditempuh.

 

“Minda kami sentiasa bersama mangsa-mangsa banjir dan kami akan buat apa sahaja yang boleh demi memberi mereka keadaan kehidupan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang begini.

 

“Moral semua anggota berada di tahap tertinggi. Kami sedang berlumba melawan masa dan apa sahaja perlu dilakukan agar sekolah-sekolah kembali dapat digunakan, kedai-kedai kembali beroperasi dan bangunan awam boleh kembali berfungsi,” jelas Azmy.

 

Azmy turut memuji kehadiran para sukarelawan bagi membantu operasi yang dilaksanakan ATM.

 

“Bukan semua kerja dibuat oleh askar semata-mata. Kehadiran para sukarelawan dari pelbagai tempat, sedikit sebanyak mempercepat kerja yang dilaksanakan,” kata Azmy.

 

Anggota tentera memang sentiasa ada di lokasi yang ditugaskan, bekerja tanpa henti 24 jam sehinggalah tugas selesai. Contohnya, membersih sekolah, para anggota tentera bertugas mesti menyiapkan operasi pembersihan agar sekolah boleh diguna pada hari pertama sesi persekolahan.

 

PENDUDUK RASA SELAMAT

 

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai (SMKMU), Rosdi Zakaria memberitahu Bernama, kehadiran anggota ATM ke sekolahnya ibarat memberi harapan baharu kepada sekolah yang musnah teruk dilanda bah.

 

Beliau dan beberapa guru turut hadir membantu 100 anggota tentera Rejimen Sempadan yang dikerah membersihkan sekolah yang mempunyai hampir 800 pelajar.

 

“Kehadiran anggota tentera membuat kami rasa lebih selamat. Kami tahu ada yang sudi bersama kami di sini walaupun keadaan seluruh kampung, termasuklah sekolah ini yang sedang serba daif,” katanya.

 

Mohd Raffein Maarof, 40, dari Kampung Karangan dekat sini turut menyatakan penghargaannya dengan kehadiran anggota tentera yang sentiasa bersama penduduk kampung membantu dalam operasi pembersihan.

 

Bagi Raja Zainab Raja Ismail, 46, yang kehilangan rumah akibat dibawa arus, kesudian anggota ATM membantu memasang khemah di tapak rumahnya Kampung Manek Urai Lama, membolehkan beliau meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

 

“Mereka datang, mereka cakap baik-baik dengan makcik. Kalau nak harap kita pasang sendiri memang tak larat,” ceritanya.

 

Seorang lagi mangsa banjir yang hilang rumah dibawa arus, Kamaruzaman Yahya, 43, berkata bantuan barangan dan makanan yang disalur anggota tentera turut sedikit sebanyak membantu keluarganya untuk memulakan kehidupan baharu.

 

“Walaupun bantuannya nampak kecil iaitu makanan dan dapur, inilah yang kami enam beranak syukuri. Terima kasih!” katanya sambil tersenyum atas pelantar sementara yang dibina daripada cebisan dinding rumah asalnya yang masih tersisa. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.