Mayat Bayi Ditemui Tersumbat Dalam Mangkuk Tandas

BINTULU: Mayat bayi yang sempurna sifatnya ditemui disumbat dalam mangkuk tandas di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) awam, di sini pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mayat bayi berkenaan yang berlumuran darah ditemui oleh salah seorang kakitangan IPT itu ketika mahu menggunakan tandas sebelum menghubungi pihak berkuasa.

 

Berikutan itu, sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluar mayat bayi berkenaan.

 

Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat.

 

Sumber memberitahu mayat bayi berkenaan dipercayai dibuang ke tandas itu dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

 

“Hasil siasatan awal juga tidak menolak kemungkinan proses kelahiran bayi itu berlaku dalam tandas berkenaan berdasarkan penemuan kesan darah di lokasi kejadian,” katanya.

 

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengenalpasti identiti ibu bayi berkenaan.

 

Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan lanjut. Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.