Langkah Intervensi Ekonomi Idea Bijak – Tun Musa

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyambut baik langkah pengubahsuaian ekonomi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyifatkannya sebagai satu idea bijak dan realistik.

 

Katanya, Bajet 2015 yang berteraskan harga minyak mentah dunia iaitu sebanyak AS$100 (RM357) setong tidak lagi boleh menjamin kestabilan ekonomi mampan untuk rakyat negara ini.

 

“Rakyat perlu tahu bahawa langkah intervensi yang dilakukan oleh Perdana Menteri jelas untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

 

“Dalam situasi ini, semua pihak perlu menerima realiti keadaan yang berlaku dan berusaha menyesuaikan perbelanjaan mengikut keperluan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Cabaran Keusahawanan Sosial anjuran Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Setiausaha Agung WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Pengerusi Tabung Pendidikan WIEF, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin.

 

Najib dalam Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia yang merujuk kepada harga minyak mentah dunia semasa pembentangan Bajet 2015 tahun lalu tidak lagi realistik sebaliknya kerajaan akan menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga minyak.

 

Selain itu, Perdana Menteri juga menegaskan ekonomi negara ketika ini masih stabil dan tidak mengalami kegawatan seperti yang berlaku pada 1997, 1998 dan 2009.

 

Dalam pada itu, Musa menyarankan agar rakyat negara ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku ekoran perubahan ekonomi dunia.

 

Beliau berkata, sikap realistik itu penting bagi mengenal pasti kelemahan yang ada dalam pelbagai aspek terutamanya ekonomi negara hari ini.

 

“Jangan takut dengan rombakan yang dilakukan kerana itu semua untuk kepentingan rakyat dan kita perlu berani berhadapan dengan situasi tersebut serta memperbaiki kelemahan yang ada,” ujarnya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.