Kerajaan Digesa Mansuh AP, Elak Kenaikan Harga Barang Terkawal

Kuala Lumpur – Kerajaan digesa agar memansuhkan sistem permit import (AP) yang memberi kesan kepada kenaikan harga barang membabitkan keperluan asas dan sekali gus mengelakkan kenaikan barang dikawal pihak tertentu yang berkepentingan.

 

Menurut Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin, gesaan tersebut dibuat berikutan negara lebih bergantung kepada kegiatan mengimport barangan makanan dari negara luar yang secara langsung memberi kesan besar kepada harga makanan yang ditanggung rakyat.

 

“Ramai yang tidak memahami bahawa dasar Barisan Nasional (BN) mensyaratkan pengimportan barang makanan memerlukan permit import (AP) telah menaikkan harga barang seperti mana AP bagi kereta menyebabkan harga kereta mahal di negara ini.

 

“Permit import ini menyebabkan hanya orang dan syarikat tertentu sahaja yang boleh mengimport makanan dan menghasilkan monopoli yang boleh mengawal harga makanan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang di muat naik di blog Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli,  semalam.

 

Katanya, orang ramai akan terus menikmati kenaikan harga barang dan ia menyebabkan Malaysia tidak boleh mengikuti harga pasaran selagi adanya permit tersebut.

 

Bagi menjelaskan dakwaan itu juga, Manivanan menyatakan harga barang makanan import dipengaruhi dua faktor utama iaitu kawalan pasaran melalui AP dan kadar tukaran matawang selain dari turun naik harga barang makanan di pasaran dunia.

 

Menurutnya, kedua faktor ini adalah kesan langsung dari dasar pentadbiran BN yang mana telah mengkayakan beberapa orang kroni dan punca kadar matawang yang menjunam adalah kerana kelemahan pengurusan ekonomi negara di bawah kepimpinan parti tersebut.

 

“Rakyat perlu mengetahui bahawa pada ketika ini BN mensyaratkan bahawa 2,428 barang import perlu mendapatkan permit import (AP) yang menyebabkan hanya sesetengah syarikat sahaja yang mengawal pasaran.

 

“Contoh AP makanan yang terbaik adalah AP gula dan beras yang kedua-duanya dikawal oleh kroni besar Umno, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

 

“Kedua-dua harga barang makanan ini dikawal Syed Mokhtar disebabkan AP gula dan beras yang diberikan BN kepada beliau,” katanya.

 

Tambahnya, dalam situasi ekonomi yang parah ketika ini termasuk penurunan mendadak nilai ringgit memberi peluang kepada pemegang-pemegang permit import ini menaikkan harga barang makanan dengan alasan penurunan matawang ringgit.

 

“Saya mencabar supaya BN mendedahkan semua pemegang permit import (AP) makanan supaya rakyat dapat menilai siapakah sebenarnya yang mengawal pasaran makanan di negara ini,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.