Isu Kalimah Allah : Mahkamah Dengar Permohonan Terakhir Gereja Katolik Hari Ini

Putrajaya – Hari ini Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan terakhir Gereja Katolik mengikut saluran undang-undang berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam majalah mingguannya dalam Bahasa Malaysia, The Herald.

 

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Gereja Katolik bagi semakan terhadap penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah rayuan yang membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Herald boleh menggunakan kalimah ‘Allah’.

 

Pada 23 Jun tahun lepas, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim memutuskan bahawa 28 persoalan mengenai undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan persoalan umum yang dikemukakan oleh gereja gagal memenuhi keperluan pemula mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberi kebenaran bagi mengemukakan rayuan.

 

Seorang daripada peguam yang mewakili gereja, S. Selvarajah ketika dihubungi berkata permohonan semakan itu akan didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.

 

Pada 19 September, tahun lepas, Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohanan pihak gereja bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

 

Permohonan itu adalah berdasarkan tiga alasan yang luas termasuk isu perundangan tertentu yang penting bagi permohonan untuk kebenaran berkaitan skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

 

Pihak gereja telah memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang disampaikan pada 14 Oktober, 2013 yang membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan Herald menggunakan kalimah ‘Allah’.

 

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

 

Gereja Roman Katolik, yang ketika itu diketuai oleh Archdiocese Kuala Lumpur, Archbishop Emeritus Murphy Pakiam, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain, memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah menyalahi undang-undang. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.