Dakwaan Teresa Sampah

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Dakwaan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok Suh Sim bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) wujud kerana UMNO disifatkan sebagai mengarut, kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

 

Menurut Ibrahim, Perkasa tidak pernah bertindak di bawah UMNO sebaliknya Perkasa mengkritik UMNO sekiranya perlu untuk kepentingan negara.

 

“Sekiranya dia (Teresa) mendakwa DAP bukan kumpulan rahsia dan perjuangan mereka dapat dilihat semua pihak, maka begitu juga Perkasa kerana Perkasa adalah badan yang berdaftar di bawah undang-undang dan aktiviti serta perjuangan kita dapat dilihat semua pihak.

 

“Dia (Teresa) sebenarnya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan dan sebab itu apabila dia berkata sesuatu, apa yang keluar adalah sampah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Teresa dalam satu kenyataan hari ini mendakwa Perkasa wujud kerana UMNO enggan hilang kuasa di Putrajaya dan UMNO juga dilihat gagal mengekang pandangan-pandangan Perkasa.

 

Tegas Ibrahim, Perkasa akan sentiasa mempertahankan perjuangannya daripada pihak-pihak yang sengaja memburukkan Perkasa sebagai rasis atau ekstremis.

 

“Golongan (seperti Teresa) ini mendakwa mereka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia tetapi Teresa jarang mengecam kumpulan-kumpulan yang menghina Islam, golongan ini termasuk Teresa adalah hipokrit tahap ter­tinggi,” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.