Bapa Mengaku Tidak Bersalah Aniaya Dan Cederakan Anak Kandung

BUTTERWORTH: Seorang bapa dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini, atas tuduhan menganiaya dan menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap anak kandungnya di sebuah flet di Sungai Dua, Khamis lalu.

 

Tertuduh, Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

 

Mengikut pertuduhan, Mohd Shaikful Adli dituduh menganiaya dan mendedahkan anak perempuannya yang berusia enam tahun kepada kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Taman Sungai Dua Utama di sini, pada jam 7.34 petang, Khamis lalu.

 

Dia dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

 

Dalam kejadian Khamis lalu seorang kanak-kanak murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

 

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.