AJL 29 : Vokal Mantap, Pitching Sempurna Adalah Kelebihan Dayang

Kuala Lumpur – Ramai bersetuju atas kemenangan Dayang Nufaizah menerusi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Di Pintu Syurga pada malam final Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

 

Kehebatan vokal penyanyi hitam manis ini memang tidak dapat ditandingi finalis lain ditambah persembahannya yang disifatkan Ketua Juri, Azmeer, sebagai satu persembahan yang ikhlas dan penuh jiwa.

 

Lagu nukilan Iman Imran bersama komposer Tam Spider itu turut diumumkan pemenang tempat ketiga.

 

Kata Azmeer, vokal penyanyi lagu Percayalah iaitu Indah Ruhailah juga cukup memukau tetapi kelebihan berpihak kepada Dayang yang berjaya membawakan lagu itu dengan ‘pitching’ sempurna.

 

“Vokal Indah Ruhaila juga bagus dan markah Indah tidak jauh beza dengan Dayang tetapi Dayang selain berjaya menyanyikan lagu itu dengan keikhlasan, pada satu bahagian dia berjaya menyanyi tanpa muzik dan ‘pitching’ dia sempurna.

 

“Bukan mudah untuk seseorang itu menyanyi tanpa muzik tetapi Dayang dapat melakukannya dengan baik sekali.

 

“Dayang menyanyi antara 18 hingga 21 par tanpa muzik dan free tempo serta dia skor di bahagian itu dengan markah 99.9 peratus,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus selesai pertandingan AJL29.

 

Bagaimanapun, Dayang menyatakan dia masih tidak percaya dengan kejayaannya meraih vokal terbaik apatah lagi menjangka memperolehi kemenangan berganda.

 

Lebih bermakna, kejayaan tersebut setelah 10 tahun Dayang tidak muncul di pentas pertandingan berprestij ini menerusi lagu ciptaan Afdlin Shauki, Erti Hidup pada AJL19.

 

“Saya bersyukur sebab usaha dan penat lelah membuat latihan berbaloi. Setiap kali menyanyi, saya akan cuba sampaikan maksud setiap perkataan dan saya persembahkan lagu itu dengan jujur.

 

“Kemenangan di tempat ketiga ini pun memang saya tidak jangka langsung. Tidak pernah saya mimpi sejauh ini. Sebenarnya saya dan komposer, kami sekadar berangan mahu ke final sahaja. Itu pun sudah cukup”, katanya dengan nada teruja.

 

Dalam pada itu Iman Imran atau nama sebenar, Rudy Imran Shamsudin pula menyatakan rasa syukur selepas hasratnya mahu melihat Dayang mencipta kejayaan menerusi lagu Di Pintu Syurga tercapai.

 

“Saya, Dayang dan Tam tidak pernah letak harap untuk menang di pentas AJL dan apabila kawan-kawan bercakap dan ada ramalan mengatakan yang tahun ini lagu Hip Hop yang mungkin diangkat sebagai juara, ia tidak mematahkan semangat kami. Malah, saya rasa ia satu perkembangan yang baik untuk industri seni kita.

 

“Namun, secara peribadi saya mahu bakat Dayang diiktiraf menerusi lagu ini. Kemenangan di tempat ketiga ini pun sudah satu kemenagan besar untuk orang baru seperti saya,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.