Majikan, pelindung, negara sumber, PATI perlu bayar kos pulang

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Majikan, pelindung dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap pada Operasi 6P Bersepadu bermula malam tadi perlu membayar sendiri kos penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain itu negara sumber juga akan diminta membayar kos penghantaran pulang PATI yang ditangkap dalam Operasi 6P Bersepadu seluruh negara itu.

Kata beliau, tindakan ini diambil agar kos penghantaran pulang yang tinggi ke negara asal PATI tidak akan membebankan kerajaan.

“Kita mahu menghantar mesej kepada mereka semua bahawa kita amat bertegas dalam perkara ini.

“Tiada lagi tolak ansur. Walaupun kita memerlukan pendatang asing di negara kita untuk bekerja tapi kita tidak sesekali akan berkompromi dengan PATI.

“Masuk dengan cara yang betul, tak ada masalah. Tapi kalau masuk dan menetap serta bekerja secara haram, kita akan ambil tindakan pengusiran.

“Masa yang diberi untuk mendaftarkan mereka sudah tamat dan mencukupi,” katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Operasi 6P Bersepadu menahan PATI di Kompleks Jabatan Imigresen Jalan Duta.

Operasi 6P Bersepadu ini akan diketuai oleh Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa.

Operasi 6P Bersepadu ini akan dijalankan di seluruh negara bermula 12.01 tengah malam semalam.

Sekitar 420,000 PATI masih berada di seluruh negara selepas program khas pengurusan PATI (PKPP) yang berakhir pada 20 Januari. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.