Import Telur Sehingga Bekalan Stabil, Tarif Elektrik Tak Naik – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengimportan telur bagi mengatasi kekurangan bekalan produk itu dalam pasaran bermula 15 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemasukan pertama pada 15 Disember melibatkan sehingga 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, pengimportan antara 2 hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan
menjadi stabil.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyatakan bahawa kerajaan juga bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik dan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti restoran, bengkel kecil, kedai runcit, petani dan pekebun.

“Berdasarkan rangka kawal selia industri elektrik, kenaikan kos bahan api sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna melalui kenaikan tarif elektrik.

“Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya tarif bagi semua pengguna isi rumah domestik dan perniagaan PKS tidak
akan dikenakan sebarang kenaikan tarif menjelang 1 Januari 2023.

“Hanya syarikat besar dikenakan kenaikan dan dengan itu, kerajaan akan menanggung subsidi lebih RM10 bilion bagi tempoh 6 bulan pertama 2023.

“Ini selaras dengan pendekatan pentadbiran ini untuk melindungi rakyat biasa dan perniagaan PMKS,” kata Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menyelami nasib rakyat susah juga, Anwar juga menegaskan bahawa beliau mengambil keputusan untuk tidak terima gaji sebagai Perdana Menteri.

Selain itu katanya, anggota pentadbiran juga telah membuat komitmen untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus sehingga kedudukan ekonomi negara kembali kukuh.

“Malah, ini bertitik tolak daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai suri teladan kerana enggan menerima gaji Baginda semasa negara dilanda Covid-19. Melalui penjimatan ini, kita dapat menjimatkan sekitar RM2 juta setahun,” jelas Ahli Parlimen Tambun itu lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, bagi beberapa bulan mendatang, Kerajaan Perpaduan akan terus menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik dalam mendepani permasalahan kos sara hidup serta menumpukan kepada pengagihan subsidi yang lebih bersasar.

“Dalam usaha memperkukuh tadbir urus Kerajaan, urusan perolehan bagi projek-projek yang dianugerahkan hendaklah dilaksanakan secara tender dan tiada lagi tawaran rundingan terus dibuat sewenang- wenangnya,” tegas Anwar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat