Pengerusi PKR Kelantan Berang Dituduh Ada Rekod Salah Laku

KOTA BHARU – Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berang apabila dituduh mempunyai rekod lampau yang buruk iaitu pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah laku ketika beliau bersama UMNO.

Tegas Mohamad Suparadi, tuduhan itu adalah firnah kerana seumur hidupnya, beliau bukan sahaja tidak pernah mempunyai sebarang kes dengan SPRM, malah tidak pernah dipanggil oleh badan itu untuk disiasat atau membantu siasatan mana-mana kes.

“Saya menuntut Naib Ketua Cabang PKR Ketereh, Mohd. Sukirman Mustafa yang menyentuh hal itu dalam sidang akhbar hari ini segera menarik balik kenyataan dia dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saya. Ini sudah jadi fitnah.

“Jika tidak, saya akan mengambil tindakan undang-undang iaitu memfailkan saman fitnah terhadap saudara Sukirman di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam satu sidang akhbar di sini, Mohd. Sukirman yang mengetuai sekumpulan akar umbi PKR dari kesemua 14 cabang PKR di negeri ini menyatakan bantahan terhadap pelantikan Mohamad Suparadi Md. Noor sebagai Pengerusi PKR Kelantan yang baharu.

Ketika mendesak Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula pelantikan itu, Mohd. Sukirman mendakwa Mohamad Suparadi mempunyai rekod kurang memuaskan kerana pernah disiasat oleh SPRM dan pemilihan beliau dikhuatiri memberi imej negatif kepada PKR Kelantan.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohamad Suparadi mengulangi pendirian beliau sebelum ini iaitu tidak akan sekali-kali tunduk kepada desakan ‘kumpulan yang kecewa’ agar beliau melepaskan jawatan Pengerusi PKR negeri serta Ketua Cabang PKR Tanah Merah yang dipegang sekarang.

“Datuk Seri Anwar yang melantik saya dan hanya beliau yang boleh menentukan kedudukan saya. Tak perlulah kumpulan itu buat huru-hara kerana beliau tahu buruk baik dan boleh menilai semua aspek. Selagi saya diberi mandat oleh Presiden PKR, saya tidak akan berundur.

“Saya sudah 38 tahun dalam dunia politik, isu ini tidak akan sama sekali melemahkan semangat saya untuk bangunkan parti. Caranya, kita kena berjiwa besar dan harus tangani dengan bijaksana. Cuma kalau sudah menyentuh soal peribadi seperti difitnah, maka saya perlu ambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.