Kerja Selenggara Pencawang TNB Selesai Dalam Tempoh 16 Jam

KUALA LUMPUR – Kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bukit Badong, Hulu Selangor, yang mengakibatkan gangguan bekalan air di sebahagian tempat di Lembah Klang, selesai awal pagi tadi.

 

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, berkata kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem perlindungan Pencawang Masuk Utama (PMU) milik TNB, itu selesai dalam tempoh 16 jam seperti dirancang dalam pelan asal.

 

“Selepas pemeriksaan secara menyeluruh dibuat, PMU di Kuala Selangor itu diaktifkan dan semua loji rawatan air yang tidak dapat dibekalkan elektrik sebelum ini kerana ketidakserasian dengan voltan set jana kuasa bergerak mula menerima bekalan daripada PMU pada jam 12.35 pagi.

 

“Untuk penduduk berhampiran lokasi PMU, bekalan air di kawasan mereka tidak terjejas kerana elektrik dapat disalurkan menerusi 28 set jana kuasa bergerak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Roslan berkata, seramai 120 petugas terbabit dalam kerja penyelenggaraan bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan teratur, cermat dan selamat.

 

“TNB juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), pihak pengurusan loji rawatan air dan pengguna kerana memahami keperluan segera untuk meneruskan kerja senggaraan,” katanya.

 

Sebelum ini, Operasi PMU berkenaan dihentikan bermula jam 8 pagi kelmarin, bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan demi kepentingan pelanggan, pengguna dan bekalan air secara berterusan.

 

Kerja penyelenggaraan ini tidak dapat ditangguhkan lagi kerana akan memberi risiko besar kepada bekalan elektrik dalam tempoh lama jika percikan arka (flashover) berlaku.

 

TNB turut memaklumkan, ketika kerja penyelenggaraan dibuat semalam, tiga titik panas ditemui menjadikan keseluruhannya lima titik panas dikesan pada peralatan PMU. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.