Jenazah Lima Beranak Mangsa Lemas Selamat Disemadikan

KUALA TERENGGANU – Jenazah lima sekeluarga yang lemas semasa mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu semalam, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

 

Mohd. Halim Samian, 44; isteri, Nurul ‘Adilah@Salaiwati Awang, 39; dan anak-anak mereka iaitu Nurul ‘Arifah, 16; Nurul Aina, 11; dan Nurul Izah, 10 tahun disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang di sini.

 

Suasana hiba menyelubungi persekitaran apabila ahli keluarga tidak dapat menahan sebak akibat kehilangan orang tersayang.

 

Yang turut mengiringi sehingga ke tanah perkuburan adalah anak bongsu pasangan terbabit, Mohd. Hasif, 9, yang terselamat kerana berada di daratan ketika kejadian.

 

Diikuti ibu bapa Mohd. Halim iaitu Samian Somo, 84, dan Siti Edah Ali, 75, yang baru tiba dari Kampung Parit 6, Jalan Yusuf Darat, Muar, Johor disamping 13 adik beradiknya yang lain.

 

Terdahulu, kesemua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Pengkalan Arang.

 

Sementara itu, sama menziarahi jenazah adalah Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad.

 

Abdul Halim yang berasal dari Johor bertugas sebagai naib kadi dan imam di Surau Al-Furqan, Puncak Alam, Selangor manakala isterinya merupakan anak jati Bukit Tunggal di sini.

 

Dalam kejadian pagi semalam, dikatakan salah seorang mangsa dibawa arus ketika sedang mandi sebelum mangsa yang lain cuba menyelamatkannya.

 

Difahamkan ketika kejadian, hanya keluarga tersebut berada di situ dan kesemua mangsa ditemukan dalam lingkungan 50 meter di kawasan tersebut yang dipercayai pusaran air. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.