Amalan Politik Matang Mampu Jalin Perpaduan – Nasrudin

SHAH ALAM – Perpaduan dan penyatuan dalam kalangan umat Islam di negara ini dapat dicapai sekiranya setiap pihak berlapang dada dan mengamalkan prinsip  politik matang.

 

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, penyatuan umat Islam akan menyebabkan musuh agama ini berada dalam keadaan tidak senang duduk malah pada masa kini, pihak berkenaan juga dilihat giat merencanakan perancangan bagi memecahbelahkan masyarakat Islam agar saling bercakaran.

 

“Politik matang menuntut semua pihak berlapang dada dan mampu duduk semeja serta berdiri sepentas bagi membincangkan isu -isu bersama khasnya perkara yang boleh menyatukan umat Islam.

 

“Mereka (musuh Islam) berpesta apabila umat Islam bercakaran dan pastinya mereka tidak senang duduk apabila umat Islam bersatu dengan ikatan yang kukuh iaitu Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, politik fasa baru negara pada masa kini meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan hukum Islam dan keadilan kepada semua kaum.

 

“Manakala, pembangkang pula berperanan secara konstruktif membangun dan membina serta mewujudkan check and balance. Yang benar katakan benar dan yang salah katakan salah,” katanya.

 

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, umat Islam merupakan masyarakat yang terbaik namun menjadi lemah dan lesu apabila bercakaran dan berpecah antara satu sama lain.

 

Oleh itu, katanya, pemimpin umat Islam wajib memikirkan kaedah yang boleh diguna pakai selepas ini bagi mewujudkan kesatuan dalam kalangan setiap kaum.

 

“Antara perintah ALLAH yang termaktub di dalam al-Quran dan sangat sukar untuk direalisasikan pada masa kini ialah perpaduan umat Islam berasaskan tali ALLAH,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.